PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Shah Alam: “Saya tidak sangka dia dapat menyelamatkan kami sekeluarga daripada menjadi mangsa rompakan memandangkan Amar seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap,” kata Tuminah Salaton, 43, ibu kepada penerima Anugerah Tunas Wira Selangor, Nor Amar Shazlan, 11.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Meru 2 itu, dianggap wira, sekaligus menerima anugerah berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat negeri di sini, kelmarin, atas keberanian menyelamatkan keluarganya daripada disamun tiga lelaki bersenjata di rumah mereka di Kampung Budiman, Meru, 3 September lalu memetik Harian Metro.

Budak 11 tahun jadi hero selamatkan keluarga dari disamun
NOR Amar menunjukkan sijil penghargaan yang diterima sambil dipeluk ibunya pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2015.

Tuminah berkata, dia bangga dengan keberanian anak keempat daripada enam beradik itu walaupun baru berusia 11 tahun.

“Sebagai ibu, saya sangat bersyukur dikurniakan anak yang berani dan mampu berfikir dengan baik walaupun dalam keadaan cemas.

“Biarpun Amar seorang yang pemalu namun sifat kematangannya dalam berfikir membuatkan saya percaya dia seorang yang berani,” katanya.

Menceritakan semula kejadian pada jam 3 pagi itu, Tuminah berkata, dia dan suami serta dua lagi anak berusia 17 dan 20 tahun diancam dengan parang selain turut diikat di dalam bilik.

“Pada ketika itu kami sangat risau keselamatan Amar dan adiknya yang berusia 7 dan 9 tahun yang dibiarkan tanpa diikat di ruang tamu.

“Saya setuju menyerahkan barangan berharga kami dan hanya mahukan anak-anak selamat namun tanpa disangka Amar menyusup keluar tanpa mereka sedar melalui pintu depan untuk ke rumah pak ciknya bagi mendapatkan bantuan.

“Mujurlah tiada perkara tidak elok berlaku kepada dia,” katanya.

Katanya, tindakan berani anaknya itu berbaloi apabila dua daripada tiga penjenayah warga asing itu berjaya dicekup penduduk kampung.

Anugerah berkenaan disampaikan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor Dr Daroyah Alwi.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.