PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Biduan tersohor, Datuk Jamal Abdillah meminta supaya semua pihak tidak terus ‘menghentam’ pelawak dan pengacara Nabil Ahmad, ekoran gurauan mereka di pentas final rancangan Gegar Vaganza, Ahad lalu.

Menurut Jamal, Nabil tidak harus dikecam memandangkan pelawak dan pengacara muda itu telah menjalankan tugasnya dengan baik untuk menghiburkan orang ramai sepanjang rancangan tersebut ke udara.

“Jangan terus hentam, Nabil hanya membuat kerja dia iaitu menghiburkan orang. Kita kena faham tugas dia bukan sesuatu yang mudah untuk buat orang ketawa dan terhibur,” demikian kata Jamal.

Dalam perbualannya dengan Utusan Malaysia, Jamal turut menafikan sama sekali dia naik marah terhadap Nabil apabila melalui beberapa dialog pelawak itu, dilihat seperti ‘mempermain-mainkan’ artis senior seperti dirinya lapor Utusan Malaysia.

Jamal Abdillah Akhirnya Tampil Perjelas Isu Dingin di Final Gegar Vaganza

Memahami yang apa dilakukan Nabil hanya sekadar untuk memeriahkan acara, Jamal menjelaskan, dia langsung tidak menyimpan amarah, jauh sekali berdendam.

“Dia hanya bergurau dan saya juga membalas kata-kata dia juga dengan gurauan. Bagaimanapun, oleh sebab ‘Jamal Abdillah’ ini bergurau dengan wajah yang serius, orang anggap saya marahkan Nabil. Sebenarnya, saya langsung tak marah, malah membalas kata-kata Nabil juga dengan niat untuk bergurau semata-mata.

“Nampaknya, orang kurang faham dengan apa yang saya ‘guraukan’ itu dan membuat tanggapan bahawa saya marahkan Nabil. Saya berharap dengan penjelasan ini, tidak membuatkan orang marahkan Nabil lagi,” katanya, memberi penjelasan jujur.

Dalam final Gegar Vaganza yang berlangsung Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam itu, Jamal telah berkata kepada Nabil, seolah-olah memberi amaran Awak kena ingat, Astro bayar saya mahal-mahal, bukan untuk jadi bahan lawak awak ya….

Ungkapan Jamal kemudian dibalas oleh Nabil dengan kata-kata Sebab bayar mahal itulah, kita kena jadikan ‘bahan’ sikit, Datuk Jamal tak habis baca kontrak tu, kata Nabil dalam lawak tersendiri.

Wajah Jamal yang agak serius ketika dalam gurauan itu telah membuatkan Nabil dihentam te­ruk di laman sosial, terutamanya oleh peminat penyanyi Biduan Menangis itu.

Malah, ada spekulasi timbul, Jamal tidak senang dengan gurauan Nabil dan menganggap ia keterlaluan.

Gara-gara itu, ada peminat yang meminta supaya Astro menamatkan khidmat Nabil selaku pengacara, serta merta.

Final Gegar Vaganza musim kedua telah meletakkan penyanyi Siti Nordiana sebagai Juara, sementara Farahdhiya selaku Naib Juara.

Ia adalah sebuah rancangan yang menghimpunkan semula artis-artis yang pernah popular dan muncul dengan album solo mereka pada tahun-tahun sekitar 1980-an, 1990-an dan awal 2000 terbitan Astro.

Gegar Vaganza yang telah ditaja oleh produk kecantikan ter­kenal, Pamoga dan Qu Puteh telah muncul sebagai program hiburan yang paling popular ketika ini.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.