PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Dua deejay mengalami detik ngeri apabila diserang dan disamun oleh 30 mat rempit berhampiran Plaza Tol Puchong Barat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, K Danheshban, 20, bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Alam Megah selepas selesai tugas mengacara sebuah majlis sambutan hari jadi di Damansara.

Ketika sampai di plaza tol berkenaan, Danheshban yang menunggang motosikal berkata, dia terkejut melihat sahabatnya hilang dari pandangan dan ternampak sekumpulan lelaki seolah-olah mengerumuni sesuatu memetik Sinar Harian.

Detik cemas dua deejay disamun 30 mat rempit

“Saya rasa tak sedap hati, jadi berpatah balik ke tempat itu dan ternampak kawan saya. Dia dikepung sekumpulan mat rempit dan pisau diacukan ke mukanya. Saya juga nampak seorang lelaki bawa motosikal jenis Kawasaki RR milik kawan saya tu,” katanya.

Mangsa berkata, kepala rakannya dihentak menggunakan topi keledar selain turut dicederakan di bahagian tangan.

Disebabkan bimbang kejadian bertukar ganas, Danheshban berkata, dia bersama rakannya terus meluru ke arah motosikal untuk melarikan diri selepas kumpulan itu menyamun cincin emas dan telefon bimbitnya.

Tidak berpuas hati dengan tindakannya, lapan daripada puluhan mat rempit itu kemudian mengejar mereka hingga sampai ke satu perumahan di Putra Heights.

Katanya, di situ dia dipukul berkali-kali menyebabkan dia dan rakan mengambil keputusan memanjat masuk pagar sebuah rumah untuk bersembunyi.

“Mat rempit itu tak mahu pergi jadi kami terpaksa jerit polis-polis, akhirnya mereka larikan diri,” katanya.

Tambahnya, mat rempit itu kemudian melarikan motosikal jenis Yamaha LC miliknya dan merentap rantai emas yang dipakai.

Menurut mangsa, seorang daripada mat rempit yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap.

Suspek katanya, cuba melawan dan memukulnya dengan besi pengunci motosikal, namun akhirnya dapat ditahan dan dibawa ke balai polis.

“Kami dapat cekup seorang sebab dia tak boleh hidupkan enjin motosikal, masa tu kami berdua tahan dia dan hantar ke balai polis,” katanya.

Danheshban berkata, kedua-dua mereka kerugian hampir RM50,000 akibat kehilangan dua motosikal, wang tunai, barang kemas dan dokumen pengenalan diri.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis USJ 8, pagi semalam.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli tidak berjaya kerana beliau gagal dihubungi.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.