PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Pemergian mengejut pelawak serta pelakon terkenal Yussry Edoo, 39, atau lebih dikenali sebagai Yus Jambu bukan saja dirasai rakan sealiran dalam industri hiburan tetapi juga peminatnya.

Rata-rata mereka meluahkan rasa sedih dan terkejut melalui Facebook (FB) Harian Metro dengan pemergian pelawak kariernya melonjak menerusi pertandingan realiti pencarian bakat Raja Lawak musim pertama pada 2007 itu.

Arwah Pak Yus Baik Hati dan Suka Bantu Orang

Pengguna laman FB menggunakan nama Usman Ghaffar Ain Rahman berkata dia rasa terkesan dengan pemergian Allahyarham.

“Sejujurnya saya tak tahu kenapa, bukan saudara atau sahabat pun… Masa baca berita pemergian beliau pagi tadi sebak rasa hati. Terus teringatkan beliau…

“Terbayang jenaka arwah. Kali terakhir menontonnya di televisyen ketika program Gegar Vaganza. Pasti rakyat Malaysia akan merindui lawak bersahaja arwah…damailah kau di sana. Semoga rohnya dicucuri rahmat, al Fatihah,” kata Usman

Kenalan Dedah Arwah Yus Jambu Suka Bantu Orang
Jenazah Yussry diusung dari Masjid Nurul Iman ke Tanah Perkuburan Kampung Nesam, Bintong, Perlis, untuk dikebumikan.

Peminat setianya yang menggunakan nama Qieyla Selangor di FB berkata dia terkejut dengan laporan pemergian pelakon itu.

“Terasa sangat kehilangannya, masa tengok Instagram pagi tadi, terdiam sekejap…tak tahu kenapa.

“Semooga tenang di sana Pak Yus. Salam takziah buat keluarga dan sahabat arwah… semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mu dan semoga kamu ditempatkan di kalangan orang-orang beriman, Al-Fatihah,” katanya menerusi laman FB HM.

Pengguna FB menggunakan nama Nora Ali memuji sifat pelakon berkenaan termasuk sering membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Arwah memang seorang yang baik. Saya kenal arwah ketika duduk di Selayang dan arwah adalah kawan kepada suami.

“Arwah sentiasa senyum dan membantu orang dalam kesusahan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan sentiasa berada di bawah lindungan Allah,” katanya.

Kenalan Dedah Arwah Yus Jambu Suka Bantu Orang

Yussry dilahirkan pada 15 Mac 1976 dan dibesarkan di Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

Kerjaya seninya bermula apabila menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan anjuran TV3 pada 2001.

Pada 2007 Allahyarham mencuba nasib menerusi program Raja Lawak terbitan Astro yang pertama kali diadakan dan menjuarai program itu pada 11 Mac 2007.

Menerusi pertandingan itu yang diundi peminat secara SMS, Allahyarham menerima hadiah kereta dan wang tunai RM20,000.

Pada 2011 Allahyarham berganding dengan Tauke menyertai Maharaja Lawak 2011 membentuk kumpulan Jambu dan mendapat tempat ke-4 keseluruhan program berkenaan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.