PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

ADA sesuatu yang pelik sedang berlaku di Syria. AS, Rusia, Perancis dan akan disertai Jerman (mungkin juga Britain jika diluluskan Parlimen negara itu), rakus membaham negara Islam itu umpama kumpulan serigala yang ghairah membahagikan habuan biri-biri gemuk sesama mereka.

Apa yang dikatakan pelik, AS selama ini diketahui seteru kuat Rusia. Perseteruan dua kuasa besar itu yang kelihatan agak reda sejak berakhirnya Perang Dingin (1985-1991), kembali marak ekoran sokongan Moscow kepada kumpulan pemisah Ukraine di wilayah Donetsk yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Kiev.

Insiden pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah itu seakan menjadi bola tanggung untuk AS dan sekutunya menuduh kumpulan diketuai Alexander Borodai itulah yang menembak jatuh pesawat milik Malaysia.

Kremlin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menuduh tentera Ukraine yang pro AS menjadi punca tragedi meragut 298 nyawa lapor Sinar Harian.

Eropah dan Rusia berbaik tiba-tiba cetus persoalan
Ada sesuatu yang pelik sedang berlaku di Syria, Eropah dan Rusia berbaik tiba-tiba?

Pada ketika tuduh menuduh berada di tahap terburuk, Presiden Rusia Vladimir Putin yang menghadiri sidang kemuncak G20 di Brisbane, Australia pada 15 Nov 2014, telah meninggalkan persidangan lebih awal untuk pulang ke Moscow.

Kehadirannya ke Brisbane sebelum itu turut ‘diiringi’ empat kapal tentera Rusia di perairan utara Australia yang menimbulkan seribu satu tanda tanya. Meskipun dianggap kebetulan, namun kehadiran kapal-kapal itu berlaku pada tika yang amat mencurigakan.

Kepulangan awal Putin ke Moscow adalah berikutan tekanan kuat yang dihadapinya daripada blok Barat susulan sokongan Kremlin terhadap pemisah Ukraine.

Beberapa pemimpin G20,) secara terbuka mengkritik ‘kehadiran’ Rusia di wilayah Ukraine dan mahu ‘Beruang Merah’ segera keluar.

Ini ditambah buruk dengan insiden MH17 yang disusuli spekulasi bahawa pesawat malang itu ditembak dengan peluru berpandu BUK buatan Rusia (Spekulasi itu kemudiannya dinaik taraf menjadi rumusan oleh kumpulan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda yang menyatakan bahawa ia sememangnya BUK yang menjadi punca pesawat itu meletup di udara).

Apa yang berlaku telah membawa hubungan Moscow – Washington hampir ke titik nadir, juga dengan negara blok Barat yang lain.

Anehnya di Syria, Rusia baru-baru ini berikrar untuk meningkatkan kerjasama dengan Perancis – yang menyertai AS dan negara-negara sekutunya – memerangi IS.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Perancis menggempur Syria sebagai tindakan balas dendam setelah IS mengaku dalang serangan Paris.

Bagaimanapun, itu tidak berupaya untuk mematikan spekulasi bahawa insiden tersebut mungkin False Flag Operation (FFO).

FFO adalah satu taktikal provokasi melalui penyamaran dilakukan oleh satu pihak dengan tujuan untuk menyalahkan pihak lain dan sekali gus menghalalkan tindakan ke atasnya.

Islamophobia

Dalam konteks insiden Paris, meskipun IS yang mengaku melakukan serangan itu namun harus dibaca bahawa yang sebenarnya menanggung kesan buruk akibat serangan balas Perancis dan sekutunya adalah Islam, Syria dan rakyatnya yang beragama Islam.

Walaupun yang dikatakan sasaran mereka adalah kubu IS, namun berapa banyak gempuran yang tersasar ke kawasan awam, berapa ramai orang awam jadi korban termasuk kanak-kanak yang baru hendak mengenal dunia?

Mereka inilah yang sedang diratah oleh persekongkolan kuasa-kuasa besar ini.

Di luar Syria, tahap Islamophobia juga meningkat drastik. Mengikut laporan Tell-MAMA (Measuring Anti-Muslim Attacks), serangan terhadap orang Islam di Britain meningkat 300 peratus pasca serangan Paris.

Jangan lupa, IS mengaku merekalah dalangnya dan jika benar mereka memperjuangkan Islam, apakah keburukan imej agama yang seperti itu jadi matlamat mereka?

Atau mungkin IS sendiri adalah FFO untuk Islam dimomokkan, negara dan rakyatnya diserang?

Justeru, apakah mustahil untuk serangan Paris direncanakan sedemikian?

Apa jua yang berlaku dalam arena politik antarabangsa ternyata tidak dapat dipisahkan dengan perkaitan Israel.

Dalam apa jua insiden, kepentingan negara Zionis itu dianggap agenda utama. Justeru setiap pihak yang terlibat dikatakan berperanan untuk memenangkan Israel, dan mereka akan bersatu untuk tujuan itu meskipun bertelingkah pada waktu yang lainnya.

Malah pertelingkahan itu juga kadang kala dianggap sebagai sandiwara atas maksud dan tujuan yang sama.

Rusia sejak era Stalin sebagaimana yang ditulis Paul Johnson dalam bukunya, ‘A History of the Jews’ (1987) telah mengamalkan dasar pro Zionis.

Pada 2006, didapati tidak kurang daripada sejuta rakyat Israel adalah berasal dari Rusia. Putin pada 2011 mengatakan bahawa Israel merupakan sebahagian daripada ‘Dunia Rusia’.

Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana lebih daripada separuh rakyat Israel boleh berbahasa Rusia.

Ketika pembantaian Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 2014, Putin menyokong Israel dengan alasan, negara haram Yahudi itu bertanggungjawab untuk melindungi rakyatnya.

Dari segi ekonomi, Rusia pada 2014 telah meningkatkan import buah-buahan dari Israel setelah memboikot produk Eropah, AS, Australia dan Kanada.

Pada Okt lalu, Rusia dengan Israel menyelaraskan operasi ketenteraan di Syria bagi mengelak pertembungan.

Sebenarnya, hubungan akrab Rusia dengan Zionis bukanlah perkara baharu.

Hal ini menurut penganalisis teori konspirasi adalah berkaitan dengan percaturan kumpulan rahsia yang dikenali sebagai Comittee of 300, melibatkan individu-individu elit dalam kalangan pemuka dunia, yang berperanan mengatur pemerintahan dan penguasaan dunia meliputi aspek politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial yang dikawal melalui cabang-cabangnya yang juga bergerak secara rahsia.

Penganalisis Dr John Coleman dalam bukunya ‘The Conspirators’ Hierarchy: The Comittee of 300′ menulis bahawa kumpulan ini telah bergerak secara sulit sejak 1600 lagi.

Meskipun anggotanya bersilih ganti, keahliannya ditetapkan pada 300 individu sahaja pada satu-satu masa. Ada sesetengah keahlian diwarisi secara turun-temurun.

Apakah kumpulan ini lebih berpengaruh daripada PBB yang merupakan himpunan induk 195 negara dunia?

Ya. Malah menurut Dr Coleman, PBB sendiri pun berada di bawah pengaruh Comittee of 300 yang sangat berkuasa.

Menurut beliau, mereka adalah sebenarnya tangan-tangan ghaib yang mengatur dan mencatur setiap peristiwa besar yang berlaku di dunia untuk kepentingan mereka. Lebih tepat lagi, peristiwa-peristiwa itu tidak berlaku secara kebetulan sebagaimana sangkaan ramai orang.

Dalam kata lain, meskipun kelihatan ada pertelingkahan antara dua kuasa ataupun sesuatu kuasa dengan kuasa-kuasa yang lain, namun untuk agenda yang lebih besar, mereka bersatu pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Comittee of 300.

Maka tidak hairanlan untuk kita diperlihatkan akan persepakatan Rusia dengan AS dan kuasa-kuasa Eropah mengganyang Syria kerana mereka mempunyai agenda bersama yang lebih besar di sini berbanding pertelingkahan sesama mereka.

Menurut Dr Coleman lagi, penguasaan Comittee of 300 di Rusia telah bermula sejak Revolusi Bolshevik dan menurutnya, ada ‘benang merah’ antara Revolusi Bolshevik dengan Revolusi Perancis yang menunjukkan kedua-dua revolusi itu dirancang dan diatur oleh satu pihak yang sama dengan agenda yang sangat besar.

Kedua-dua revolusi itu telah menjadi asas pembinaan dasar pemerintahan yang diteruskan hingga hari ini. Justeru, munasabahlah untuk segala kepentingan yang digariskan oleh Comittee of 300 semasa revolusi dijadikan warisan pemerintahan hingga sekarang.

Biar siapa pun mereka, apa yang pasti, yang jadi mangsa adalah penduduk Syria yang tidak berdosa. Yang dimomokkan adalah Islam dan umatnya. Selepas Syria, negara Islam manakah pula akan jadi sasaran mereka?

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.