PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

ISNIN lalu, industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Yus Jambu atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Yus ke Rahmatullah akibat serangan jantung.

Lebih dirasai, rata-rata peminat dan rakan baik yang baru sahaja berjumpa dan melihat aksinya dalam rancangan Juara Parodi, di mana Pak Yus atau nama sebenarnya, Yussry Edoo merupakan ahli kumpulan Kobis Pedas yang turut dianggotai oleh rakan karibnya, Tauke Jambu dan Misha Omar.

Tidak sanggup untuk meneruskan perjuangan pada minggu kelima Juara Parodi, pihak penerbit, Vision Works bersama Astro Warna bersepakat untuk menangguhkan program pada minggu kelima.

Ia kemudiannya digantikan dengan Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan yang menghimpunkan kesemua 10 kumpulan dalam program Juara Parodi serta rakan-rakan artis yang lain, di mana mereka menyampaikan persembahan khas buat Allahyarham Pak Yus lapor Sinar Harian.

Program tribute untuk Yus Jambu dikritik hebat

Menerusi program yang disiarkan secara langsung di Saluran 132 Astro Warna, Jumaat lalu, rata-rata hadirin dan teman seperjuangan tidak dapat menahan juraian air mata kerana terkesan dengan pemergian seorang penghibur yang jujur dan rakan baik yang setia.

Bahkan komen menerusi laman sosial turut berkongsi kesedihan sama yang dirasai penonton di Theater Shah Alam.

Namun di sebalik kesedihan itu, ada beberapa pihak yang seolah-olah tidak bersetuju dengan program Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan dan menyifatkan ia sebagai keterlaluan.

Tidak melatah dengan kritikan sesetengah pihak terhadap program berkenaan, penerbit Juara Parodi, Afdlin Shauki berkata, sesebuah program yang tidak pernah dilakukan bukan bermakna tidak boleh diwujudkan.

Katanya, tujuan utama program itu diadakan adalah untuk menghargai Allahyarham Pak Yus dan dalam masa sama mengingatkan penonton tentang kematian.

“Saya terima beberapa mesej menerusi aplikasi WhatsApp termasuk daripada ustaz yang memuji pengisian program tersebut yang membawa penonton mengingati kematian.

“Saya tahu hidup mesti diteruskan dan kita buat program itu bukan untuk meratap, tetapi berkongsi kebaikan arwah yang pada hayatnya tidak diketahui ramai.

“Mereka tidak meratap pada malam itu, sebaliknya air mata yang keluar adalah ikhlas dari hati kerana terkesan dengan kehilangan Pak Yus,” ujarnya kepada Zass.

Afdlin berkata, orang ramai juga perlu berfikir positif bahawa pelawak juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

“Beberapa hari selepas arwah meninggal, ada yang bertemu dengan kami (pelawak) dan meminta untuk selfie serta suruh kami senyum. Tapi kami minta maaf kerana tak dapat beri senyuman seikhlas hati.

“Begitu juga dengan malam tadi (Jumaat), kami tak mampu tersenyum kerana apa yang kami sampaikan itulah yang kami rasai.

“Malah, saya cuba menampilkan sebuah program secara sederhana. Sebab itu saya mulakan dengan tazkirah dan diikuti sesi luahan. Ada yang memilih untuk menyampaikan menerusi sajak dan nada juga lagu.

“Tapi lagu itu bukan lagu yang mendayu, tapi ada mesej yang tersendiri,” ujarnya.

Tambah Afdlin, sekiranya Juara Parodi diteruskan juga pada Jumaat lalu, pihak penerbit tetap menerima kecaman ramai.

Oleh itu, Afdlin berkata, apa yang menjadi kepentingannya adalah peminat Pak Yus yang terkesan dengan pemergiannya.

“Kalau orang nak kutuk ke apa, terpulanglah. Apa yang saya peduli adalah peminat yang terkesan dengan pemergian arwah. Kalau saya teruskan Juara Parodi, tak mustahil kami mendapat kecaman juga,” jelasnya.

Konsep tuju lagu

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Kamal berkata, pihak Astro bersetuju mengadakan program tersebut kerana sedar dengan semangat peserta lain yang masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya, idea program tersebut berdasarkan tagline ‘boleh tuju lagu’ yang selalu diucap oleh Pak Yus ketika menyertai program Maharaja Lawak Mega.

“Pihak Astro memang sudah berkesan supaya semua yang terlibat tidak meratapi pemergian arwah. Tapi apa yang terjadi (tangisan) bukan boleh ditahan dan ia adalah semula jadi.

“Sejujurnya pihak Astro juga turut terasa dengan pemergian arwah dan kerana itu kita merasakan tidak wajar untuk meneruskan pertandingan.

“Pada saya program Mengenang Pak Yus adalah salah satu cara untuk menaikkan semula semangat peserta yang terlibat dalam Juara Parodi,” ujarnya.

Tambah Ema, selain program ini, pihak Astro Warna juga sudah mengadakan bacaan surah Yasin dan tahlil untuk Allahyarham Pak Yus yang diadakan pada Khamis lepas.

“Kita bukan buat program seperti ini semata-mata, tapi ada juga bacaan Yasin dan tahlil yang dibuat secara tertutup Khamis lalu,” katanya.

Ema berkata, selain Juara Parodi yang masih berjalan, Pak Yus juga akan muncul menerusi program Sembang Pacak, di mana penggambaran program berkenaan sudah dilakukan beberapa minggu lalu.

Selain itu, Pak Yus juga sepatutnya terlibat dalam program Maharaja Lawak Mega tidak lama lagi, namun semua itu tidak kesampaian.

Menerusi Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan Jumaat lalu, rata-rata teman baik mendedahkan sikap Allahyarham yang suka memberikan hadiah dan gemar mencium pipi tanpa disedari.

Bahkan, kesemua mereka mengakui terkesan dengan pemergian seorang rakan yang cukup baik dan jujur dalam persahabatan.

(Baca: Program tribute untuk Pak Yus dikritik hebat, ini jawapan Afdlin Shauki)

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.