PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di sini malam Isnin.

Beliau berkata, semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram lapor Bernama.

Vape Diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan
Majlis fatwa kebangsaan haramkan penggunaan vape

Katanya, keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

“Dua kertas kerja turut dibentangkan pada malam ini, dari sudut kesihatan dan syariah,” katanya.

Muzakarah itu turut dihadiri mufti, timbalan mufti negeri-negeri dan ahli-ahli yang dilantik Majlis Raja-raja.

Abdul Shukor berkata, kajian dari sudut kesihatan turut diambil kira hasil maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melakukan pengumpulan maklumat mengenai kesan penggunaan bahan itu di seluruh dunia.

“Malah pakar kesihatan juga mendapati vape dan rokok elektronik tidak dapat membantu perokok dan perokok tegar untuk berhenti merokok,” katanya.

Abdul Shukor berkata, penggunaan vape dan rokok elektronik diharamkan berdasarkan Qaedah Saad al-Zarala iaitu menutup keburukan lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Beliau berkata, penggunaan rokok elektronik dan vape boleh diibaratkan seperti menghisap rokok konvesional, yang mengandungi pelbagai bahan beracun. 

“Pihak berkuasa atau pemerintah boleh membuat keputusan pengharaman vape jika ada kepentingan umum dan kebaikan.

“Keputusan pada malam ini juga adalah selari dengan pendapat di beberapa negara Islam lain termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya sambil menambah penggunaan rokok elektronik dan vape turut diharamkan di beberapa negara bukan Islam.

Sejajar dengan keputusan yang dibuat, Abdul Shukor turut mengesyorkan negeri-negeri lain mengikuti keputusan yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

“Malah ada pihak berkuasa di beberapa negeri lebih awal membuat keputusan pengharaman penggunaan bahan itu termasuk Johor, Kedah, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Perak,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.