PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Komposer Loque akur dengan pemilihan 12 lagu ke Anugerah Juara Lagu ke 30 (AJL 30) walaupun berselisih pendapat dengan beberapa juri ketika menghakimi lagu yang dipertandingkan.

Loque yang juga juri separuh akhir Muzik-Muzik berkata, walaupun begitu  keputusan yang dibuat bagi memilih peserta akhir adalah kata sepakat bersama lapor Mstar.

Komen Mengejutkan Loque mengenai lagu yang layak ke AJL 30

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana juri sepanjang tiga minggu membuat penilaian program ini. Lagipun keputusan yang dibuat berdasarkan perbincangan bersama.

“Walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak setuju, tetapi saya harus akur dengan pemilihan lagu-lagu yang dibuat berdasarkan beberapa faktor. Saya harap tidak ada pihak yang salah faham,” katanya kepada mStar Online.

Loque yang juga vokalis kumpulan MonoloQue mengulas berhubung status yang dimuat naik di Facebook miliknya pada malam Ahad lalu mengenai cita rasa masyarakat  memilih lagu yang langsung tidak menunjukkan identiti muzik tempatan.

Sebaliknya masyarakat lebih gemarkan lagu-lagu berbentuk identiti negara sebarang, Indonesia untuk diundi sebagai lagu pilihan dalam pertandingan tahunan itu.

Status tersebut telah menimbulkan persoalan adakah mungkin Loque tidak berpuas hati dengan pemilihan 12 lagu yang dipilih ke AJL 30 atau dengan pihak juri yang terlibat bersamanya.

Selain Loque, barisan juri professional yang menilai karya dalam program tersebut ialah Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri, Helen Yap, Edry Hashim, Jennifer Thompson, Azmeer dan Taja (Meet Uncle Hussein).

Sementara itu, Loque menjelaskan, status tersebut lebih kepada rasa terkilannya terhadap cita rasa umum yang gemarkan lagu-lagu berunsur muzik seberang dan pada masa sama penggiat muzik pula menghasilkan lagu ‘ala Indonesia’.

“Saya sedih, lagu-lagu kita ke arah Indonesia melodinya. Lirik lagu pun begitu, sebagai contoh, ‘bisa’, ‘coba’, ‘karena’. Bukankah lirik itu boleh ditulis kepada Bahasa Melayu?

“Melodi pula bersifat ala-ala penyanyi Melly Goeslow, Kris Dayanti dan sebagainya. Saya lihat fesyen kita sudah berubah tetapi cita rasa kita tentang muzik tempatan masih di takuk lama.

“Sedangkan lagu-lagu rock kapak dan elemen Melayu lain boleh dinaik taraf menjadi sebuah lagu yang segar,” tegasnya.

AJL30 yang bakal berlangsung pada 24 Januari 2016 akan menampilkan 12 lagu terbaik iaitu Sampai Mati (Hazama), Potret (Akim & The Majistret), Assalamualaikum (Faizal Tahir), Biarkanlah (Drama Band), Hanya Namamu (Caliph Buskers) dan Knock Knock (Elizabeth Tan).

Turut terpilih ialah Manakala Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Angin Kencang (Noh Salleh), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Aliff), Mana Mungkin (Black), Not For Sale (Stacy) dan Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah).

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.