PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang anggota polis wanita putus urat leher akibat dikelar dua lelaki yang cuba menyamunnya di Danau Kota, Setapak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, anggota berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Gombak itu, sedang berjalan dari rumah untuk membeli sarapan tidak jauh dari kawasan kediamannya.

Bagaimanapun, ketika melalui kawasan Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, anggota berusia 27 tahun itu dihampiri dua lelaki yang menunggang dua motosikal sebelum tiba-tiba mengacukan sebilah pisau ke arahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata suspek kemudian mengarahkan anggota terbabit menyerahkan barangan berharga miliknya sebelum berlaku pergelutan lapor Berita Harian.

Penyamun kelar leher polis wanita sampai putus di Danau Kota
Gambar hiasan.

“Ketika mempertahankan diri, anggota dan dua suspek berusia dalam lingkungan lewat 20-an bergelut sebelum seorang daripada suspek mengelar leher mangsa dengan objek tajam dipercayai pisau.

“Meskipun dalam keadaan kecederaan yang serius, anggota berkenaan berusaha menahan suspek, namun mereka dapat melarikan diri tanpa sempat merampas barangan berharga milik mangsa,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata, sekumpulan remaja yang melalui lokasi kejadian kemudian membantu menghantar mangsa pulang ke rumahnya sebelum dihantar oleh adik iparnya ke Klinik Kesihatan Gombak Setia, bagi mendapatkan rawatan.

“Akibat kecederaan serius dan memerlukan pembedahan segera, anggota berkenaan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kita sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek berdasarkan maklumat daripada mangsa sebaik dia selesai menjalani pembedahan pada lehernya,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata anggotanya itu yang bertugas di Bahagian Tugas Am, Balai Polis Gombak, kini masih menjalani rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.