PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Bintang Kollywood terkenal, Rajinikanth menerima bayaran RM35 juta? Seakan-akan melampau bunyinya, tetapi itulah bayaran diterima hero filem Tamil popular ini ketika membintangi filem terbarunya, Kabali yang turut menjalani penggambaran di Malaysia pada penghujung Oktober lalu.

Bayaran itu setimpal dengan komitmen yang diberikan Rajinikanth selama lebih empat bulan bagi menjayakan filem arahan P Ranjith yang akan ditayangkan di seluruh dunia dan dijangka meraih kutipan pecah panggung.

Kehebatan lakonan bintang yang menempa nama menerusi filem Padayapa, Basha dan Sivaji The Boss ini menyebabkan pihak penerbitan tidak teragak-agak menggunakan khidmatnya. Tambahan pula dia sudah membintangi filem Hollywood lapor Harian Metro.

Rajinikanth masih di Malaysia hingga Februari 2016

Kehadiran Rajinikanth, 66, bukan saja menarik perhatian peminat pelbagai kaum di negara ini, malah peminat dari India juga sanggup datang ke Malaysia dan menginap di hotel sama dengannya semata-mata ingin bertemu pelakon pujaan mereka itu.

Malangnya mereka gagal bertemu bintang legenda ini berikutan kawalan ketat pengawal peribadinya. Rajinikanth bagaimanapun tidak menghampakan peminat apabia melambai tangan dari dalam keretanya.

Syarikat pengeluar filem di Malaysia iaitu Malik Streams Corporation Sdn Bhd bertanggungjawab membawa Kabali menjalani penggambaran di sini.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, Kabali sepatutnya ke Singapura dan bukannya Malaysia.

“Sebaik mendengar Kabali akan menjalani penggambaran di Singapura, saya segera ke India bertemu P Ranjith dan bercerita mengenai lokasi menarik di Malaysia terutama Melaka dan KLCC.

“Pada Jun lalu, mereka datang ke Malaysia untuk meninjau lokasi sesuai. Mereka kagum dengan keindahan negara ini dan bersetuju menjalani penggambaran di sini.

“Rajinikanth berada di sini dari 27 Oktober hingga 21 November lalu dan beliau sangat komited. Sikap profesionalnya membuatkan penggambaran berjalan dengan lancar,” katanya.

Sambung Abdul Malik lagi, syarikat itu bertindak selaku pengedar rasmi dan pengeluar bersama filem terbabit bagi edaran Malaysia, Singapura dan Sri Lanka.

Kabali bakal ditayangkan di 6,000 pawagam termasuk China, Jepun dan Hong Kong pada Jun 2016.

“Filem Tamil akan dialih bahasa dalam bahasa Melayu untuk tayangan di Malaysia. Kru produksi berkampung selama sembilan hari di Melaka dan penggambaran di lakukan di IPK Melaka, Penjara Sungai Udang dan sekitar bandar Melaka.

“Mereka seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur dan menjalani penggambaran di Batu Caves, Taman Sri Muda Shah Alam, KLCC, Bangsar, KLIA 2 dan Pulau Carey, Klang selama enam hari.

“KLIA 2 menjadi pilihan kerana Rajinikanth menggunakan kapal terbang Air Asia untuk ke Malaysia. Dia akan kembali ke sini bagi menyambung penggambaran Kabali pada 1 Januari nanti.

“Dia akan menetap di sini selama 50 hari sehingga 15 Februari 2016. Kos bagi penerbitan filem ini dianggarkan sekitar RM80 juta kerana membabitkan banyak lokasi termasuk luar negara,” katanya.

Menurutnya lagi, 80 peratus lokasi penggambaran Kabali dilakukan di Malaysia yang mengambil masa selama 75 hari, Bangkok (3 hari), Goa (20 hari) dan India (25 hari).

Sebelum pulang ke negara kelahirannya, Rajinikanth sempat meluangkan masa bertemu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Rashidi Hasbullah.

Ini bukanlah kunjungan pertama Rajinikanth kerana sebelum ini dia pernah menjalani penggambaran filem Priya di sini pada 1978.

Kabali adalah filem ke-159 Rajinikanth yang memaparkan kisah benar kumpulan penjenayah (Don) di India. Filem ini turut menyaksikan penampilan khas beberapa pelakon tempatan antaranya menantu kepada bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu iaitu Shaila Nair dan Abdul Malik sendiri.

Jelas Abdul Malik lagi, biarpun bergelar bintang popular, Rajinikanth mudah didekati hingga disenangi ramai.

“Saya banyak bertemu artis popular luar negara. Namun saya mengagumi Rajinikanth kerana dia tidak berlagak. Dia pelakon yang baik dan sentiasa mementingkan peminatnya.

“Walaupun penat berlakon, dia tetap melambaikan tangan pada peminatnya. Rajinikanth turut menitikberatkan pemakanannya. Sepanjang berada di sini, dia bawa bersama tukang masaknya. Dia menggemari kari kepala ikan,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.