PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

GEORGETOWN – Lagu Saya Anak Malaysia pasti tidak asing dalam kalangan masyarakat di negara ini, namun masih ramai yang tidak mengetahui penyanyi utama lagu itu, Salim Ibrahim atau lebih dikenali sebagai dR Sam Rasputin sudah pun tampil dengan imej berbeza.

Dahulu beliau lebih menggemari lagu berentak reggae dan berpakaian dengan imej ala rasta, Bob Marley.

Namun tidak lama kemudiannya beliau nekad untuk terus istiqamah demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.Kini Sam tampil dengan imej seorang pendakwah dengan membawa mesej-mesej Islam dan keamanan sejagat memetik Viralyat.

Penyanyi lagu Saya Anak Malaysia ini kini berhijrah demi agama
Ingat lagi tak Dr Sam? Penyanyi lagu Saya Anak Malaysia ini kini berhijrah demi agama

Menurutnya, dia mengakui masih giat mendalami ilmu agama sehingga ke hari ini sekali gus menganggap ia sebagai penghijrahan diri yang besar.

“Saya akui ketika berada dalam dunia hiburan, apa yang saya lakukan begitu banyak bertentangan dengan kehendak ALLAH SWT dan tidak takut melanggar larangan-Nya.

“Ia kerana pada masa itu tiada hidayah dan hanya hiburan semata-mata yang menjadi mata pencarian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan program perkongsian di Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), hadir sama Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr Normala Abdul Wahid.

Sam terkenal pada era 1970-an hingga 1980-an, dan lagu paling popularnya ialah Saya Anak Malaysia turut dinyanyikan bersama Band Rasputin dari Negeri Sembilan.

Ketika mengikuti pengajian di luar negara, Sam telah merantau ke beberapa bandar utama termasuk London dan Paris untuk menjadi penyanyi jalanan.

Kemudiannya dia dipertemukan dengan guru-guru agama apabila sudah kembali ke tanah air selepas lima tahun mengembara di bumi asing.

“Banyak ilmu yang diperoleh semasa proses penghijrahan ini berlaku dan yang paling menyentuh perasaan ialah apabila diri ini mula sedar dengan merasai keyakinan kepada ALLAH SWT.

“Percaya adanya ALLAH SWT tetapi ketika itu hanya percaya tetapi belum kuat keyakinan yang bermaksud percaya itu di akal,” katanya.

Tambahnya lagi, doa ibu antara kuasa yang tiada tandingannya kerana di antara insan yang tidak berhenti berdoa demi kesejahteraannya.

“Dalam melakukan penghijrahan, menuntut ilmu adalah sangat penting untuk kita terus memperbaiki diri, semua perkara yang dilakukan juga haruslah diniatkan hanya kerana ALLAH SWT.

“Kedua ialah bermujahadah atau bersungguh-sungguh dalam berhijrah, tetapi kita juga perlu sentiasa berdoa kerana orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong dengan ALLAH SWT,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.