PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Saya tidak pernah jumpa lelaki sejahat dia. Memang dia tidak pernah tendang terajang saya, tetapi kesan penderaan mental yang dia lakukan terhadap saya jauh lebih teruk.”

Demikian luah Liza (bukan nama sebenar) melepas geram dan marah. Biarpun umpama membuka pekung di dada, dia sudah tidak kisah asalkan apa yang berbuku di hati selama ini dapat diluahkan.

Justeru, pertemuan dengannya pada satu petang yang sekadar untuk minum dan bertanya khabar, digunakan kesempatan itu untuk meluahkan isi hati lapor Utusan.

Suami terlampau sanggup kencing di tempat tidur isteri sendiri

“Bukan tak rasa malu atau niat mahu memburukkan sesiapa. Saya perlukan kawan untuk berkongsi perasaan ini. Lagipun, kes dengan dia sudah selesai di mahkamah,” ujarnya berterus-terang.

Menyambung cerita katanya, perkahwinannya dengan Izham (juga bukan nama sebenar) yang cuma bertahan satu setengah tahun, memang tidak begitu diketahui rakan-rakan kerana majlis dibuat cukup sederhana hanya dengan kehadiran ahli keluarga terdekat.

Bukan tidak mengimpikan majlis yang besar dan meriah, malah ibunya hingga sekarang masih terkilan tidak dapat mengadakan majlis perkahwinan seperti diimpikan memandangkan Liza anak bongsu daripada empat beradik.

Namun, bagi memenuhi kehendak Izham yang hanya mahu membuat yang ‘wajib’ sahaja, Liza terpaksa akur sehingga terpaksa mengetepikan kehendak ibu bapanya.

“Izham berasal dari pantai timur dan saya kenal melalui seorang kawan. Kami berkawan tak lama, lima bulan selepas mengenali hati budi masing-masing, dia meluahkan hasrat memperisterikan saya.

“Walaupun saya rasa terlalu awal, melihat pada latar belakang pegangan agama dan pekerjaannya saya rasa dia lelaki yang baik dan boleh diharap. Lagipun, usia saya ketika itu bukanlah muda sangat.

“Seperti yang dia mahukan tanpa upacara merisik dan bertunang, kami cuma buat majlis nikah dan sedikit kenduri kesyukuran. Puas juga saya pujuk emak supaya setuju.

“Pada hari majlis satu lagi kejutan apabila dia cuma datang bersama empat orang kawan menaiki sebuah kereta. Memang sebelum kahwin dia ada memberitahu saya, emaknya tidak suka saya kerana sudah ada calon lain untuk dijadikan menantu. Atas alasan itu juga dia tidak pernah membawa dan memperkenalkan saya pada keluarganya. Waktu itu saya terima sahaja alasan itu.

“Namun, tidak sangka pula pada majlis nikah tiada seorang pun ahli keluarganya hadir termasuk ibu bapanya. Dia kata mereka tidak hadir kerana tidak merestui perkahwinan kami.

“Berpeluh juga saya cuba menerangkan kepada ibu bapa saya. Apa boleh buat, majlis sudah bermula mahu tidak mahu mereka terpaksa teruskan dan terima sahaja alasan Izham,” kata Liza.

Perkahwinan yang sepatutnya membawa kegembiraan dan keseronokan, rupa-rupanya permulaan kepada episod sedih dalam hidup Liza.

Kemanisan menjadi isteri orang hanya bertahan seketika, kerana memasuki bulan ke tiga perkahwinan, belang Izham sedikit demi sedikit mula kelihatan.

Menurut Liza, tanpa ada sebab dan punca, lelaki yang mula bertakhta di hatinya berubah sikap secara tiba-tiba.

Izham mula jarang bercakap, sepatah ditanya sepatah juga dijawab, layanannya juga semakin dingin dan seolah-olah cuba mengelak daripada bertembung dengan Liza.

“Hampir setiap malam dia akan balik lambat, lepak rumah kawan-kawan bujang atau bermain badminton katanya.

“Izham hanya akan sampai rumah selepas pukul 12, iaitu selepas saya masuk tidur. Dia tidak akan masuk balik, sebaliknya lebih rela tidur di sofa ruang tamu. Paginya, dia akan bergegas ke tempat kerja, hanya masuk bilik untuk mengambil pakaian yang telah saya siapkan. Cara Izham seolah-olah memang dia mahu mengelak daripada bercakap dengan saya,” katanya.

Keadaan itu berterusan hingga beberapa minggu. Liza yang bingung tidak tahu apa salahnya, nekad bersemuka dan bertalu-talu soalan diajukan suaminya, termasuk mungkinkah suaminya itu mempunyai perempuan lain di luar.

Reaksi daripada Izham sangat mengecewakan kerana dia membatukan diri tidak menjawab apa-apa.

Namun, sejak malam itu keadaan menjadi lebih teruk. Pelbagai cara dilakukan oleh Izham untuk menyakitkan hati Liza termasuk tidak menegurnya, menghilang diri tidak balik rumah hingga berhari-hari dan bermacam-macam lagi.

Hubungan intim suami isteri memang tiada langsung sejak dia berubah sikap, malah sejak awal pernikahan, kata Lisa, Izham seolah tidak minat dan melakukanya bagai terpaksa.

Satu malam, Izham balik rumah selepas beberapa hari menghilang diri, dan menyatakan mahu berpisah kerana sudah tidak menyukai Liza lagi.

Tergamam dengan kata-kata suaminya, Liza cuba sekali lagi mendapatkan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku dan apakah salahnya. Namun, seperti biasa jawapan yang diinginkan tidak juga diperoleh.

Peliknya, Izham mahu Liza yang memfailkan permohonan cerai di mahkamah syariah dan keluar dari rumahnya.

“Dia mahu berpisah dengan saya tapi saya yang kena mohon cerai sebab katanya, dia tidak akan sesekali berbuat demikian. Pelik, tapi saya agak dia mahu menjaga namanya maklumlah dia pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan, biar nama saya yang buruk kerana saya yang mohon cerai.

“Saya juga agak dia mahu mengelak daripada membayar wang mutaah kerana nanti dia boleh dakwa saya yang keluar rumah.

“Begitupun, saya tidak setuju kerana masih mahu mempertahankan rumah tangga kami. Lagipun saya malu dengan keluarga di kampung, kerana dahulu saya yang bersungguh mahu kahwin.

“Pelbagai cara dia lakukan untuk memaksa saya memfailkan cerai. Saya buat keras hati, kalau dia betul-betul nak berpisah biar dia yang memfailkan cerai.

“Melihat kedegilan saya, Izham sakit hati dan perangai buruknya menjadi-jadi bagi memaksa saya keluar dari rumah sewanya.

“Kalau saya beritahu mungkin ramai yang tidak percaya. Bukan setakat melempar keluar rumah kain-baju saya, dia juga pernah sengaja kencing di atas katil tempat saya tidur. Itu belum lagi balik dari kerja rumah gelap-gelita kerana elektrik dipotong, bukan kerana tidak bayar bil tetapi Izham sengaja meminta rakannya dari TNB memotong bekalan kononnya rumah tersebut mahu dikosongkan.

“Marah, sakit hati, sedih dan macam-macam lagi, tapi saya kuatkan hati untuk terus tinggal di situ selagi dia tidak melafazkan cerai atau memfailkan cerai di mahkamah,” kata Liza.

Kemuncak kepada kebencian Izham apabila suatu hari dia menukar kunci dan mangga pintu rumah membuatkan Liza tidak boleh masuk. Apabila dihubungi, Izham memberitahu segala barang-barang Liza sudah dikeluarkan dan diletakkan di sebuah stor kosong.

“Terduduk saya dibuatnya. Sampai begitu sekali tindakan dia. Bayangkan dalam keadaan gelap, berseorangan dan sehelai sepinggang, saya mencari stor yang dimaksudkan yang terletak di kawasan kilang terbiar.

“Saya beranikan diri demi menyelamatkan barang-barang peribadi saya. Itupun tidak boleh ambil sebab kunci ada pada pemilik stor.

“Tidak cukup dengan itu. Esoknya saya datang lagi untuk mengeluarkan barang-barang saya dan tokey stor datang sambil meminta wang sewa. Katanya, Izham menyuruh dia meminta wang sewa dari saya. Dia yang keluarkan barang, saya pula yang kena bayar sewa,” katanya geram.

Tidak mahu melihat apa lagi tindakan kejam Izham, akhirnya Liza mengalah memfailkan cerai di mahkamah syariah namun sepanjang perbicaraan dia meluahkan kepada hakim segala yang telah dilakukan oleh lelaki itu.

“Akhirnya mahkamah memihak kepada saya dan memutuskan sejumlah bayaran mutaah kepada saya. Bukan bayaran tersebut jadi ukuran tapi puas hati saya kerana terbukti siapa salah siapa betul,” katanya.

Ditanya adakah dia memperoleh jawapan kenapa Izham tiba-tiba berubah hati, Liza berkata, hingga ke hari ini dia tidak memperoleh jawapan yang pasti.

Namun, sepanjang tempoh berkonflik dia ada juga berusaha menjejaki kawan-kawan sepejabat Izham.

“Kawan-kawannya terkejut apabila saya memperkenalkan diri sebagai isteri Izham kerana selama ini dia tidak pernah mengaku sudah berkahwin dan setahu mereka Izham tidak pernah mempunyai teman wanita kerana kebanyakan rakan-rakan rapatnya lelaki.

“Saya jadi keliru. Saya juga percaya, sehingga sekarang keluarganya juga mungkin tidak tahu dia berkahwin bukan kerana mereka tidak setuju dengan perkahwinan kami seperti alasan yang diberi Izham. Sampai sekarang saya tertanya-tanya apa tujuan sebenar dia berkahwin ,” kata Liza mengakhiri cerita.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.