PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang lelaki yang penuh pengalaman dengan MLM dan Skim Ponzi meluahkan segala isi hatinya tentang mereka yang berlumba-lumba mengejar kekayaan dan berebut-rebut nak menjadi jutawan.

Namun, kisah pengalaman lelaki ini bakal membuka mata anda. Ikuti luahan dan mungkin juga pesanan untuk anda dari Muhamad Na'im Ab Razak.

Pesanan Sentap Lelaki Untuk Mereka yang Terjebak Dengan MLM dan Skim Ponzi

Buat Pinjaman RM70,000, keluarkan EPF, beli kopi belalang RM17000

Rayuku Buat Sahabat (Kisah MLM dan Skim Ponzi)

Sahabatku, tika saat kau berkongsi akan kesenanganmu, sedikitpun aku tidak dengki bahkan tumpang gembira. Gembira akan peluang dan ruang yang kau perolehi dalam jihad membaiki kehidupanmu. Aku akui yang aku seronok mendengar kisahmu memperoleh Ribuan ringgit setiap bulan. Dan aku hargai getus hatimu yang turut ingin aku mengambil peluang meraih kekayaan. Benar katamu, tidak ada orang yang mahu memberi wang percuma beribu ringgit kepada kita setiap bulan. Aku setuju 200% dengan kata-katamu.

Aku terdiam saat kau berkata kau membuat pinjaman sejumlah 70,000 untuk memasuki sebuah program perniagaan. Katamu, setiap bulan syarikat memberimu RM3000. RM2000 diguna untuk membayar wang pinjaman dan baki RM1000 diguna untuk kegunaan bulanan. Aku sedar, kau dibuai keasyikan dengan nilai wang yang diperolehi lantas kau terbayang jumlah wang yang akan diperolehi andai kau melabur RM100,000, RM200,000 atau RM500,000. Aku tahu kau sudah terawang dengan janji untuk terbilang. Aku tahu kau melayang dengan cita yang membawa sayang andai tidak dipenuhi.

Namun aku khuatir saat kau ingin menambah pelaburan mu. Ingin kau keluarkan wang simpanan EPF mu dan ingin kau leburkan duit pinjaman perumahanmu. Saat ini, aku seakan mahu menjadi Rezza Kahlili yang mengkhianati Tehran demi untuk menyelamatkannya. Aku tidak mampu untuk menjadi Sang Pungguk yang setia menanti bulan di malam hari. Sabar berdiam diri demi sang kekasih yang dirindui.

Tidak kah kau lupa nilai barang kononnya berharga RM17000 dirumahmu itu. betulkah kopi belalang berharga RM17000 wahai sahabatku. Boleh sahaja aku membungkus kopi tenom dengan plastik emas dan mengatakan ia berharga RM30000. sanggupkah kau membelinya. Sahabatku. RM3000 yang kau peroleh setiap bulan itu adalah dari wang RM70 000 mu juga. andai kau beri aku RM70000, aku juga mampu memberimu RM3000 sebulan.

Aku bukanlah orang yang tepat untuk menasihatimu. Kau sudah meniti usia persaraanmu sedang aku baru merangkak dalam membina karier ku. Kau sudah merasa pahit manis kehidupan sedang aku baru tersedak terkena pahitnya kopi. Tapi, izinkan aku memanjangkan leher dan memberi kerlingan tajam atas keputusanmu yang membuat jantungku berdegup pantas. Aku berharap aku dapat tidur dengan lena andai kau mendengar nasihat ku ini.

Apa Khabar Jutawan Luxor?

Sahabatku, 15 tahun yang lampau aku dibawa oleh “Jutawan” Luxor untuk menghabiskan waktu malamku dengan menghirup kopi di sebuah gerai di tepi jalan. Masih aku terngiang ucapan mereka. ‘ lepas ini, jangan ada dengki selepas kami menjadi kaya.’ Dan lantas aku berlalu pulang dengan membayar sendiri wang minumanku. Sedikit hampa bertandang kerana jutawan tidak sudi membelanja secawan teh tarik yang pada ketika itu berharga RM0.80. Setahun, dua tahun dan semalam sudah berlalu tetapi rakanku masih belum menjadi kaya dan aku masih belum sempat membina rasa dengki pada mereka. Sungguh aku tertanya, lupakah mereka akan janji mereka?

Aku tidak akan pernah lupa kisah rakanku yang berniaga produk berasaskan “air laut dalam’. Kata mereka, syarikat mereka bertaraf dunia dan majlis makan malam mereka dihadiri menteri. Saban malam, aku lihat kau berkhayal di hadapan komputer sambil melihat gambar kereta Fair Lady atau Skyline. Lantas kau menekan punat telefon bimbitmu dan berbicara romantis dengan teman wanitamu. “Sayang nak fair lady atau Skyline? Nanti kita boleh bersiar-siar pada waktu petang.” Aku hanya mampu memerhati dengan tenang pada saat itu. Dan pada saat ini, aku kasihan memikirkan kenderaan yang bakal kau naiki untuk ke mahkamah akibat kegagalan melangsungkan wang pinjaman yang dilaburkan kedalam bisnes impian itu.

Sahabatku, ada rakanku datang berbicara denganku tentang jihad ekonomi. Kata beliau, Rasulullah bersabda bahawa 9/10 sumber rezeki adalah dengan berniaga. Lantas kau dakwah aku untuk turut bersamamu menjual ayat Al Quran dan sunnah demi mengaut harta kekayaan dunia. Aku hanya memerhati dan tersenyum lantas bertanya beberapa tahun kemudian. “ Berapa pahala yang kau kutip dan cukupkah ia untuk menampung dosa kamu membuat ratusan umat Muhammad menjadi muflis.”

Tersontot emas

Sahabatku, aku pernah berliur melihat kewemahan sahabatku berniaga emas. Mataku juga silau akan kilauan wang mereka. Kata mereka, kau kasi aku 100k dan aku akan bagi kau RM1 juta selepas setahun. Apa kau ingat hatiku tidak bergetar akan godaan itu. Malamku dipenuhi angan-angan dan buku ku dipenuhi dengan contengan pen memikirkan pelan untuk mengubah gaya hidup. Semestinya aku kagum kerana rakanku menjadi jutawan Darul Emas Perak Berhad dan sudah membuka beberapa buah kedai emas biarpun usia belum mencapai 30 tahun. Tapi, kagumku tidak seberapa apabila dia rugi jutaan ringgit. Bukan seorang sahabatku yang rugi jutaan ringgit tetapi lebih dari dua orang. Ada yang rugi 200 000 dan 500 000 dan ada yang hanya rugi 10 000. Rakanku yang membuat program emas delay sendiri tidak turut lari dari rugi besar. Aku hanya mampu bersyukur kerana berjaya mengeluarkan wangku berjumlah RM5000.00 dari lebur menjadi abu.

Apa Khabar Jutawan Double Stem Cell?

Beberapa orang persendirian termasuk doktor datang mempengaruhi untuk berniaga Double Stem Cell. Kata mereka, “Alah doktor, sambil kau tengok pesakit tu kau suruh lah mereka keman double stem cell. Duit dapat dan pesakit pun sihat.” Begitu mudah mereka ingin mengguna ku sebagai seorang perawat demi untuk mencapai kekayaan. Adakah harga nilai ku sebegitu murah. Lima tahun belajar dan tiga tahun menjadi pegawai perubatan dan kini kau datang mengajarku untuk memberi makan stem sel pokok kepada manusia. Apa kau ingat ini monyet eksperimen hingga kau mahu aku mengabaikan nyawa pesakit.

Terjebak jual krim hormon Firmax.

Terbaru, datang lagi seorang kontraktor yang selalu menjadi pesakit ku. Selalunya, aku akan memberi rawatan kepada beliau dan hari ini dia datang untuk mengajar aku tentang cara merawat pesakit. Sungguh aku tidak riak dengan ilmu yang aku perolehi tetapi sedikit terkilan apabila beliau mengajar aku untuk merawat pesakit dengan menyapu krim hormon Firmax. Kata beliau, produk ini sudah diuji oleh 2 orang doktor perubatan yang menjadi duta produk tersebut dan dia mahu aku menyertai kumpulan itu. Sungguh aku terasa ingin membakar risalah mengandungi wajah dua orang doktor tersebut. Andai doktor tersebut berdiri di hadapan aku, nescaya aku lumurkan krim Firmax ke mukanya yang sudah aku campurkan dengan tahi kucing kerana telah mencemarkan gelaran doktor dengan menjual produk palsu.

Sahabatku, benar kata kau bahawa tiada orang yang akan memberi kau wang dengan cukup mudah. Aku tidak mahu meninggi diri tetapi aku juga pernah merasa hidup sebagai orang kaya sebelum nikmat tersebut ditarik balik. Betul tiada orang mahu memberi wang secara percuma dan kerana itu aku pernah bekerja keras sehingga mendapat pendapatan 5 angka sebulan. Benar tidak ada yang mahu memberi wang percuma dan aku pernah bekerja sehingga mendapat wang RM1000 sehari. Tapi hanya Allah yang tahu betapa derita dan sengsaranya bekerja hingga mengabaikan keberkatan rezeki. Akibatnya, ia tidak bertahan lama. Sahabatku, aku juga pernah diberi tawaran untuk berhenti kerja dan mendapat wang sebanyak RM20 000 sebulan tetapi aku menolaknya. Kerana aku telah belajar bahawa bukan segalanya memerlukan wang. Kita tidak pernah akan merasa cukup andai kita mengejar wang. Tetapi jika kita bersyukur, nescaya Allah akan menambah rezeki kita.

Syukur tiada hutang kronik.

Bersabarlah sahabat. Usah kau rakus mengejar wang. Jangan nanti kau menjadi Si Kaduk. Sudahlah hilang wang taruhan, maruah tergadai, lari bertelanjang. Aku mohon maaf kerana menjadi penghalang untuk kau menjadi kaya raya. Sungguh, aku sayang persahabatan kita dan aku tidak ingin melihat kau tersungkur. Berfikirlah sebaiknya sebelum kau hancurkan hidupmu. Hari ini aku hanya memakai kereta MyVI, menggunakan telefon Asus Zenfone dan berbaju Fred Perry tiruan. tapi aku bersyukur kerana tidak dibelenggu hutang kronik seperti sahabat-sahabatku yang lain. Percayalah, ada kenalanku yang menjadi call girl semata-mata ingin membayar hutang.

**Ini adalah pengalaman peribadi yang ditujukan untuk sahabat tersayang...

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.