PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kecaman pelakon Nur Fazura Sharifuddin terhadap seorang peminatnya yang bertudung gara-gara ungkapan “kimK” awal bulan ini ternyata memberi hikmah tersendiri.

Vii Narza, nama Nur Atiqah Annuar di akaun Instagram, kini menyimpan impian menjadikan pelakon filem “Pisau Cukur” sebagai duta perniagaan tudungnya lapor The Malay Mail.

 Vii Narza teringin ambil Fazura jadi model tudung

Bekas pramugari itu mengakui isu #kimK sedikit sebanyak memberi impak yang baik kepada publisiti perniagaan tudungnya yang dibina kecil-kecilan sejak 2008.

“Kalau ditakdirkan saya berjaya dan dapat butik sendiri, kenapa tidak kalau saya ambil Fazura jadi duta saya?

“Apa salahnya sebab semua orang nak jadi macam Fazura, dia sangat cantik.

“Saya memang tak ada masalah, sebab saya memang peminat dia dan jujur saya impikan dia dapat pakai tudung rekaan saya.

“Kalaulah betul dia pakai, saya sangat gembira sebab kita [bersama Fazura] dapat bekerjasama dengan baik,” katanya kepada ProjekMMO di sebuah hotel di sini, semalam.

Fazura seorang selebriti yang tidak bertudung, namun sebelum ini pelakon Amyra Rosli yang tidak berhijab juga pernah dipilih sebagai model tudung jenama Fareeda.

Terkenal kerana ‘kimK’, wanita ini teringin jadikan Fazura model tudung

Susulan meluasnya isu #kimK didebat di Internet, akaun Vii Narza mencatatkan pertambahan mendadak pengikut.

Pada awalnya hanya diikuti 366 orang, dalam tempoh beberapa hari sahaja, Atiqah menerima lebih 27,000 rakan maya atas simpati ramai. Kini, pengikutnya di media sosial itu lebih 30,000 orang.

Eksekutif jualan korporat itu menjadi terkenal di media sosial selepas mengulas gambar Fazura, 32, bersama rakannya dengan ungkapan “Mcm kimK yg dpn tu” (macam kimK yang di depan itu).

Bagaimanapun, penyanyi lagu “Sayangi Dirimu” tersalah faham maksud “kimK” — yang disangkanya bermakna kesat — sehingga mempersoalkan penampilan bertudung Atiqah.

Pelakon filem “Gol dan Gincu” memadamkan coretan salah fahamnya di Instagram dan kemudian menasihatkan peminatnya lebih berhati-hati memberikan komen di media sosial.

Terkenal kerana ‘kimK’, wanita ini teringin jadikan Fazura model tudung
Atiqah menikmati hikmah kontroversi 'kimK' yang membantu jualan tudungnya, jenama 'Vii Narza Hijau'.

Fazura dan Atiqah, 26, masing-masing mendesak satu memaafkan yang lain, namun kedua-duanya masih belum berbuat demikian berhubung kontroversi itu.

Mengulas lanjut insiden itu, yang hangat dibincangkan di Twitter pada 2 Disember lalu, Atiqah berharap pengguna media sosial tidak memperbesarkan lagi perkara tersebut kerana menganggapnya sebagai salah faham.

“Minat saya pada Fazura, sejak dulu lagi. Saya selalu tengok filem lakonan Fazura, ikuti perkembangan dia dan sekarang walaupun kena hentam saya tak pernah membenci dia sebab saya sayang Fazura.

“Apa yang berlaku itu cuma salah faham dan tak perlu nak perbesarkan lagi.

“Kalau ada peluang nak jumpa dia secara peribadi pun saya tak ada masalah,” katanya yang tenang mengatur kata.

Tambahnya, peluang mendapat publisiti percuma isu #kimK akan digunakan bagi memperbanyakkan lagi stokis perniagaannya di seluruh negara.

“Ada hikmah dengan apa yang terjadi sebenarnya. Kesannya, orang sudah tahu perniagaan saya dan ada yang nak jadi stokis. Saya anggap itu rezeki buat saya,” katanya.

(Baca: Fazura bertudung, peminat terpegun)

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.