PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Ayah saya cuba tarik brek tangan bas sebelum kemalangan, tapi gagal sebab kejadian berlaku amat pantas sebelum mereka terbabas ke tepi jalan. Bas itu pun agak usang. Kerusi penumpang tidak mempunyai tali pinggang keselamatan.

“Ayah saya cakap yang mereka semua tak sepatutnya naik bas itu dari awal lagi,” kata Tan Sien Nian, 36, menceritakan detik cemas bapanya, Tan Yang Soon, 64,  yang terlibat kemalangan mengorbankan 13 nyawa di Chiang Mai, Thailand, minggu lalu.

Sien Nian, anak kedua Yang Soon berkata, detik cemas itu diceritakan sendiri bapanya ketika pertemuan mereka di Chiang Mai, Isnin lalu.

Yang Soon antara yang cedera parah. Turut cedera, anak saudaranya, Ker Shin Hui, 28.

Kemalangan itu turut mengorbankan empat ahli keluarga Sien Nian, iaitu, kakaknya, Tan Thin Thin, 39, neneknya, Low Chee Lan, 85, dan pasangan suami isteri, Tan Sui Heng, 54, dan Ker Bong Ngwang, 57 lapor Sinar Harian.

Luahan sayu waris mangsa kemalangan korbankan 13 nyawa di Thailand

Kata Sien Nian, bapanya mula rasa resah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka di Thailand membuat keputusan menukar bas dua tingkat kepada bas biasa.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira tahap keupayaan penumpang yang kebanyakannya sudah berusia yang tidak boleh menaiki bas berkenaan.

“Ayah ada beritahu yang menjadi masalah bukan bas, tetapi pemandu yang mengamalkan cara pemanduan tidak berhemah serta tak cekap.

“Pada pandangan ayah, dia melihat pemandu itu agak kekok dan tidak biasa dengan jalan terbabit,” katanya ketika ditemui di rumah urus mayat Persatuan Hoon Chew Tong, semalam.

Sien Nian berkata, bas dipandu lelaki Thailand itu, melanggar sebuah kereta dan jip sebelum terbabas di tepi jalan.  

“Malah ketika kejadian cemas itu, ayah beberapa kali cuba mencapai brek tangan bas bagi memberhentikan kenderaan namun gagal, dan akibatnya bas terbabas sehingga menyebabkan kecederaan teruk terhadap semua penumpang,” katanya.

Katanya lagi, ayahnya kini dirawat di Hospital McCormick, Chiang Mai, dan dianggarkan berada di sana selama dua minggu, malah tidak mampu bergerak tanpa bantuan.

“Saya harap ayah pulang cepat dan kalau boleh biar ayah dapat hadir persemadian ahli keluarga lain yang terkorban,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Terence Yung mengucapkan rasa terima kasih terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana menjadikan seluruh proses persediaan lancar dan bebas masalah terutama kepada keluarga mangsa.

“Mereka sangat cekap. Setiap jabatan (terlibat) bekerja bergandingan. Mereka juga bekerjasama dengan baik, efisien, sangat membantu, prihatin dan mengutamakan susun atur yang menjadikan ia lancar dan bebas masalah,” katanya kepada pemberita di Rumah Urus Mayat Persatuan Koon Yew.

Sementara itu, van yang membawa jasad mangsa nahas selamat tiba di Batu Pahat, pada jam 9.12 pagi, semalam, setelah dibawa pulang dari Lapangan Terbang Subang.

Sebanyak 11 jasad dibawa ke empat rumah urus mayat, manakala dua lagi dibawa ke kediaman mangsa di Kampung Parit Haji Sidek, di sini.

Turut dibawa pulang melalui penerbangan ihsan menggunakan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) itu, adalah seorang warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu serta waris mereka.

Pesawat TUDM tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 3.32 pagi, manakala pesawat Tentera Udara Thailand pula pada 3.38 pagi selepas penerbangan kira-kira tiga jam dari Chiang Mai.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.