PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

‘Selfie’ adalah aktiviti mengambil gambar sendiri menggunakan kamera digital mahupun telefon pintar dan selalunya akan dimuat naik ke media sosial.

TAHUKAH anda perkataan ‘selfie’ telah dinobatkan sebagai  “Word of The Year” oleh Kamus Oxford pada tahun 2013?

‘Selfie’ adalah aktiviti mengambil gambar sendiri menggunakan kamera digital mahupun telefon pintar dan selalunya akan dimuat naik ke media sosial.

‘Selfie’ adalah satu kemahiran dan bukan semua orang boleh mengambil gambar sendiri dengan baik. Kalau saya sendiri yang mengambil selfie, selalunya saya akan termenung di sudut gelap mengenangkan gambar sendiri yang kurang menarik.

Hari ini kita akan membincangkan tentang jenis-jenis ‘selfie’ yang boleh dijumpai di media sosial.

1) Selfie Asas

Ini merupakan teknik selfie yang paling umum, dan paling mudah untuk dilakukan. Jika anda pergi ke laman Instagram rakan-rakan gadis anda, anda pasti akan menjumpai jenis selfie ini. Teknik ini boleh dilakukan seorang diri ataupun secara berkumpulan.

Anda hanya perlu menjauhkan kamera daripada wajah dengan sudut-sudut tertentu yang membuat anda nampak kurus, sebelum membuat pelbagai riak wajah seperti muncung menggoda mahupun kenyitan asmara.

Jenis-jenis selfie paling lazim di media sosial
Teknik selfie yang paling umum dan digunakan ramai individu.

2) Selfie Sedih

‘Selfie’ sedih adalah sejenis teknik mengambil gambar sendiri ketika sedang menangis. Kadangkala kapsyen muram tak cukup untuk menggambarkan emosi kita. Dengan mengambil gambar air mata berlinangan, kesedihan itu dapat dikongsi bersama.

Kita tak perlu banyak tanya kenapa menangis pun nak ambil gambar, cukup sekadar dengan ‘Like‘ yang kita beri, pasti dapat mengurangkan keperitan yang mereka alami.

5 Jenis selfie paling popular di media sosial
Selfie sedih ini adalah sejenis teknik mengambil gambar kita sedang menangis.

3) Selfie Insaf

‘Selfie’ jenis ini banyak membuat kemunculan ketika bulan Ramadhan. Dengan wajah penuh keinsafan serta masih memakai telekung dan songkok, kita pun mengambil selfie. Apapun kita boleh komen tentang selfie mereka, tetapi jangan sekali-kali mempersoalkan ibadah mereka kerana itu urusan mereka dengan Tuhan.

5 Jenis selfie paling popular di media sosial
Apapun kita boleh komen tentang selfie mereka, tetapi jangan sekali-kali mempersoalkan ibadah mereka kerana itu urusan mereka dengan Tuhan.

4) Selfie Tidur

Ini merupakan teknik selfie yang paling sukar untuk dilakukan. Bagaimana kita hendak mengambil gambar dengan baik sambil menutup mata?

Walaupun aksi ini susah nak buat, kita masih dapat jumpa selfie jenis ini di Instagram. Kagum juga saya melihat ‘selfie’ tidur mereka yang sentiasa sempurna sebab kalau saya ambil selfie ketika tidur, mungkin dapat lihat air liur basi meleleh berserta rambut yang kusut.

5 Jenis selfie paling popular di media sosial
Imej penyanyi popular Miley Cyrus sedang tidur yang dimuat naik olehnya tidak berapa lama dahulu.

Bonus: Selfie #KJ40tahun

Selfie #KJ40tahun adalah kompilasi gambar selfie Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin ataupun nama manjanya KJ sempena hari lahir beliau yang ke-40. Sengaja saya selitkan #KJ40tahun di dalam senarai selfie ini agar anda dapat menikmati selfie beliau yang ’tall, dark and handsome‘.

5 Jenis selfie paling popular di media sosial
Salah satu ‘selfie’ #KJ40Tahun yang viral beberapa bulan lalu.

5) Selfie Menyusu

Selfie ketika sedang ‘breastfeeding‘ ataupun ‘Brelfie‘, merupakan teknik selfie terkini yang tiba-tiba menjadi trending di alam maya. Netizen di media sosial khususnya Facebook berbalah apabila gambar selfie ibu yang menyusukan anaknya tersebar. Ramai yang menentang tindakan tersebut, tak kurang juga yang mempertahankan aksi selfie sambil menyusukan anak.

Di sini, saya ingin menyatakan pendapat peribadi saya; saya menyokong sepenuhnya aktiviti penyusuan ibu, termasuk menyusukan anak di tempat awam .

Sebagai seorang ayah, saya faham dengan kehendak bayi kecil yang kelaparan tak kira masa dan tempat. Lagipun susu formula mahal jadi jika anak mahu menyusu badan sehingga genap dua tahun memang jimat duit saya.

Namun begitu,’nursing in public‘ harus dilakukan dengan tenang, bukannya main selak dan sumbat begitu saja. Boleh guna bilik susuan yang disediakan, ataupun sekurang-kurangnya pakai ’nursing cover‘ untuk mengelak daripada pandangan tidak berkelip orang lain.

Mengambil selfie ketika menyusukan anak pula adalah sesuatu yang berbeza. Perbincangan daripada segi agama kita serahkan saja kepada peserta Pencetus Ummah.

5 Jenis selfie paling popular di media sosial
Ramai yang menentang tindakan tersebut, tak kurang juga yang mempertahankan aksi selfie sambil menyusukan anak.

Bagaimana pula daripada pandangan moral?

Apa rasional di sebalik aksi Brelfie tersebut?

Sebagai protes terhadap stigma masyarakat tentang breastfeeding?

Untuk menggalakkan ibu lain menyusu badan? Ataupun sekadar mengikut trend selebriti barat? Sama-sama kita bincangkan.

Begitulah antara jenis-jenis selfie yang kita boleh jumpa di media sosial. Adakah anda juga seorang kaki selfie?

Sedikit fakta menarik tentang selfie; setiap satu selfie yang dimuat naik di media sosial, ada 10 keping lagi gambar selfie yang lebih kurang sama tetapi tidak menepati piawaian kerana nampak gemuk.

Beruk pandai selfie gagal mohon hak cipta foto sendiri

Oleh: Faizal Rosly/@ijaicool

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.