PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Penganjuran kejohanan Piala Datuk Seri Vida di peringkat sekolah rendah dan menengah, adalah satu daripada 33 syarat tambahan yang dikemukakan pengasas produk kecantikan Qu Puteh, dalam perjanjian penajaan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Menurut Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, penganjuran kejohanan ini lebih penting, selain dua syarat awal yang digariskan kepada Kafa sebelum ini lapor Mstar.

Datuk Seri Vida Mahu kejohanan bola sepak Piala Datuk Seri Vida diadakan

“Ia lebih penting selain stadium pink dan nama baharu The Red Warriors (TRW) kerana ini platform untuk mencungkil bakat baharu dalam arena bola sepak negara terutamanya di peringkat akar umbi,” katanya.

Vida berkata idea penganjuran kejohanan ini timbul selepas mengenang kesungguhan dan minat dua arwah anaknya terhadap sukan tersebut.

Dua anak lelaki Vida, Eddie Zuhdi Mohd Amin dan Edrie Zikrie, maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingat di Meru Hill, Taman Meru, Ipoh pada Ogos 2013.

Kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan rumah teres tepi dua tingkat yang digunakan sebagai asrama untuk kakitangannya.

“Dua putera yang amat saya sayangi meminati sukan ini. Mereka ada pasukan sendiri, Pamoga FC, yang ditubuhkan setahun sebelum pemergian mereka.

“Jauh di sudut hati, masa ada arwah, saya ada nak buat padang bola sendiri. Walaupun mereka masih kecil, mereka berjaya cari penaja, ada jersi sendiri. Jadi, saya mahu ramai yang berbakat seperti anak saya dilahirkan,” katanya kepada mStar Online.

Usahawan kosmetik terkemuka itu berkata beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Kafa untuk menganjurkan kejohanan ini, sebagaimana yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Kejohanan Piala Datuk Seri Vida ini akan dibahagikan mengikut kategori dan penyertaan terbuka kepada seluruh negara. Syarat- syarat pertandingan akan saya tentukan dan Kafa hanya perlu anjurkan sahaja.

“Jika ia diadakan di Kelantan tiada masalah bagi Kafa tapi penganjuran luar negeri itu saya rasa ia perlu mendapat kelulusan FAM. Apa-apapun saya yakin Kafa lebih arif mengenai perkara ini.

Jelas Vida, beliau memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membiayai kos penganjuran dan menyediakan hadiah ‘lumayan’ bagi kejohanan tersebut.

“Peruntukan RM1 juta untuk tujuan itu termasuk dalam nilai tajaan kepada Kafa. Kejohanan ini perlu diadakan supaya bahang dan kehangatan bola sepak bukan sahaja di dalam stadium tetapi mendapat sambutan anak-anak muda.

“Jika dulu anak-anak muda tak kenal, tak cinta bola sepak, sekarang mereka bersama Pamoga Qu Puteh menjadi penyokong dan mula berjinak-jinak dengan sukan ini setiap petang tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Terdahulu, Vida menetapkan dua syarat awal iaitu, Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu skuad Kelantan didahului dengan Pamoga Qu Puteh TRW.

Pada petang Jumaat, Qu Puteh sah menjadi penaja The Red Warriors (TRW) apabila mencapai kata sepakat dengan Kafa dalam rundingan penajaan pasukan tersebut.

Namun, butiran terperinci mengenai rundingan itu hanya akan diumumkan pada majlis memeterai perjanjian penajaan berkenaan yang akan diadakan secara rasmi pada 15 Januari ini.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.