PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Maafkan saya,” mohon pertahanan kental Selangor, Azrif Nasrulhaq selepas mengakui tindakannya menyertai pasukan juara Piala AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini yang tidak kesampaian itu dilihat begitu mengecewakan penyokong Merah Kuning.

Pemain berusia 25 tahun itu mahu terus melupakan episod ‘kegagalan’ itu dan akan kembali fokus untuk membantu skuad The Red Giants meraih kejuaraan musim ini.

Sambil menyatakan dia masih sayangkan Selangor yang juga negeri kelahirannya itu, Azrif juga memohon jutaan kemaafan kepada barisan kejurulatihan, rakan sepasukannya dan penyokong setia Merah Kuning dengan tindakannya yang dilihat begitu mengecewakan mereka lapor BH Online.

Azrif Nasrulhaq mohon maaf

“Saya akui ini kesilapan diri saya kerana tidak mahu berbincang dengan barisan pengurusan terlebih dahulu.

“Kemelut ini akan diingati sebagai pengajaran buat saya dan jika ada tawaran daripada mana-mana pasukan pada masa depan, saya akan membincangkan terlebih dahulu dengan mengambil kira pendapat semua orang termasuk barisan penyokong Selangor,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Mini Shah Alam, di sini, semalam.

Menyifatkan tawaran daripada JDT sebagai peluang yang hanya datang sekali, dia kini pasrah dan hanya menanti jika rezeki itu bakal menjadi miliknya sekali lagi pada musim depan.

“Saya tidak tahu jika rezeki ini akan datang lagi pada musim depan, tetapi saya gembira kerana kelab terkemuka seperti JDT mengikuti perkembangan saya.

“Apa pun, saya akan lihat bagaimana dan jika ada lagi tawaran pada musim depan, saya akan mempertimbangkan dan berbincang terlebih dahulu dengan pengurusan bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Keputusan pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ayus’ itu untuk menyertai pasukan Harimau Selatan mengejutkan banyak pihak kerana dia masih mempunyai kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan dia turut bersedia menebus kontrak setahunnya bernilai RM960,000 itu.

Namun, pengurus pasukan, Amirudin Shari, enggan melepaskan pemain terbabit berikutan namanya sudah didaftarkan dalam skuad selain mereka tidak mempunyai masa untuk mendapatkan pemain baharu bagi menggantikan posisi pemain itu.

Akhirnya, kemelut ini diselesaikan selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menyatakan berlakunya masalah komunikasi antara pencari bakat yang tersilap maklumat kerana menyangka Azrif tidak terikat dengan FAS sekali gus mereka tidak berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan kental itu.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.