PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Pasukan The Red Warriors (TRW) bakal memiliki sebuah gimnasium yang dilengkapi dengan kemudahan kolam ais seperti yang dimiliki pasukan bertaraf terkemuka dunia dalam tempoh lebih sebulan dari sekarang.

Penaja utama TRW, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata gimnasium tersebut akan dibina di Tingkat 3 Wisma Vida Beauty yang terletak di Kubur Langgar dekat sini kerana ruang di Stadium Sultan Muhammad IV agak terhad lapor MStar.

Gimnasium Bertaraf Dunia Dilengkapi Kolam Ais Bakal Dibina Datuk Seri Vida

“Pemain minta bilik persalinan yang lengkap dengan kolam ais untuk mengatasi masalah kekejangan urat selepas bermain tetapi kita tak boleh buat di dalam stadium kerana ruang yang terhad.

“Jadi kita cadangkan pembinaan gimnasium itu di Wisma Vida yang akan melalui kerja-kerja pengubahsuaian pada minggu depan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood di sini Jumaat.

Beliau berkata pembinaan gimnasium itu amat penting bagi memberi keselesaan kepada pemain TRW dalam menjalani latihan kecergasan sebelum dan selepas tamat perlawanan serta sesi latihan mereka.

“Kita mahu pemain jalani latihan fizikal di dalam gimnasium yang serba lengkap seperti kolam ais itu, jakuzi, sauna dan tempat fisioterapi supaya mereka lebih cergas dan dapat beraksi dengan cemerlang,” katanya.

Datuk Seri Vida bakal bina gimnasium bertaraf dunia dilengkapi kolam ais

Menurut usahawan kosmetik terkemuka negara itu, bangunan Wisma Vida Beauty (gambar) setinggi tiga tingkat itu akan berubah wajah sepenuhnya kerana akan dicat dengan warna asas Qu Puteh iaitu merah jambu dan putih.

Katanya, selain pembinaan gimnasium, tingkat dua di wisma tersebut juga akan diubah suai menjadi pejabat pengurusan dan bilik mesyuarat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Manakala di tingkat satu bangunan tersebut akan menempatkan ruang santai, kafe dan kaunter penjualan tiket dan barangan TRW.

“Jadi proses pengubahsuaian akan mengambil masa lebih sebulan sebelum dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.

Pengubahsuaian bangunan tersebut merupakan salah satu daripada 35 syarat yang dikemukakan kepada Kafa sebelum bersetuju menaja TRW selama dua musim.

Jelas beliau lagi, bangunan tersebut akan disewakan kepada Kafa dengan sewa bulanan sebanyak RM30,000 tetapi jumlah itu akan ditolak daripada nilai tajaan sebanyak RM16 juta kepada pasukan tersebut.

Vida berkata kadar sewa tersebut adalah berpatutan selepas mengambil kira kos penyelenggaraan dan pengubahsuaian bangunan tersebut yang akan digunakan pemain dan pihak pengurusan tertinggi Kafa.

Terdahulu, Vida mengadakan pertemuan dengan Abdul Fattah dan beberapa pihak pengurusan tertinggi Kafa untuk memuktamadkan proses pengubahsuaian stadium tersebut.

Difahamkan rundingan tersebut berkaitan dengan cadangan Vida untuk menukar warna stadium dari merah-putih kepada merah jambu-putih.

Sementara itu, Abdul Fattah menyambut baik cadangan Vida yang dilihat dapat menjadikan Kelantan sebagai sebuah destinasi sukan terbaharu di negara ini.

“Saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada Datuk Vida. Selain menjadi mercu tanda Kelantan, saya yakin stadium ini akan membantu rakyat di negara ini menjana pendapatan mereka,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.