PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Saya bukan lerak pitih atas padang…tidak.”

Demikian reaksi spontan pengasas kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dalam loghat Kelantan.

Maksudnya beliau bukannya sekadar menabur wang ketika memutuskan untuk menaja pasukan bola sepak negeri kelahirannya itu.

Menurut usahawan kosmetik yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, sebelum membuat keputusan untuk menaja The Red Warriors (TRW) beliau melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara terperinci mengenai perkara ini lapor Mstar.

Pesanan Datuk Seri Vida buat KAFA

“Sebagai penaja, saya rasa tidak salah jika mengambil tahu mengenai hala tuju pasukan ini.  Saya mahu memastikan pelaburan besar ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Saya ada cita-cita besar untuk pasukan ini, sebab itu saya berani buat keputusan untuk jadi penaja. Saya tahu TRW akan bangkit kembali pada musim ini,” katanya kepada mStar Online.

Ahli perniagaan kelahiran Machang itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang mengkritik campur tangan penaja dalam pengurusan bola sepak, termasuk dilantik sebagai penasihat kehormat.

Jelas Vida, pelantikannya sebagai Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membuktikan bahawa pengurusan badan induk tersebut memberi kepercayaan kepada beliau untuk bersama-sama membangunkan TRW.

“Saya hargai pelantikan tersebut, tidak sangka mereka menerima idea saya untuk bersama-sama melakukan transformasi kepada pasukan ini. 

“Saya sayangkan TRW. InsyaAllah, ada banyak perkara yang saya mahu lakukan selepas ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Vida dan Kafa mencapai kata sepakat mengenai perjanjian penajaan TRW selama dua musim yang dikatakan mencecah RM16 juta.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu secara rasmi akan diadakan di ibu negara pada Jumaat ini.

Selain bersetuju dengan dua syarat awal Datuk Seri Vida, Kafa turut menerima 33 syarat tambahan baharu yang dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd itu sebelum bersedia menaja TRW.

Dua syarat awal itu adalah Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan akan dicat dengan warna merah jambu, manakala nama pasukan Kelantan diubah kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.