PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

SIAPA sangka seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, gara-gara mahukan hidup bebas sanggup berbohong terhadap keluarganya. Dia mereka cerita konon diculik dan kes ini menggemparkan seluruh negara serta menjadi viral di dalam media sosial. Teka-teki helah penculikan ini terbongkar setelah polis berjaya menemui remaja itu bersama teman lelakinya berusia 19 tahun.

Hasil siasatan polis, remaja itu mengakui tidak diculik tetapi menumpang di rumah bapa angkatnya dan berbuat demikian kerana ingin hidup bebas. Pembohongan remaja itu dikecam di Facebook dan Twitter kerana menyusahkan pihak polis dan orang ramai lapor Berita Harian.

Punca remaja lari dari rumah didedahkan

Kemungkinan masyarakat akan berfikir dua kali sebelum membantu mangsa yang berdepan kes penculikan selepas ini. Jika kita imbas kembali, Oktober lalu seorang remaja perempuan berumur 16 tahun lari dari rumah di Kuala Sungai Baru Melaka dan mendakwa dia akan dijual oleh keluarganya. Setelah bersembunyi di sebuah surau, dia mendapat bantuan seorang lelaki.

Akhirnya remaja itu dibawa ke rumah kawan lelaki berkenaan dan dirogol. Apa pun remaja ini perlu diberi peluang kedua melalui kaunseling disebabkan belum matang dalam membuat keputusan dan demi masa depannya. Secara umumnya, ada dua kategori kes orang hilang.

Pertama, kes jenayah membabitkan culik oleh sindiket mahupun individu menjadikan mangsa sebagai peminta sedekah, pelacur atau pengambilan organ. Kedua adalah kategori ‘hilang’ kerana kemahuannya sendiri. Yang jelas, kategori yang kedua ini agak membimbangkan kerana ia antara penyumbang terbesar kepada masalah sosial yang kritikal seperti jenayah kekerasan, dirogol, dilacurkan atau ada yang dibunuh. Dr Paul Wilson, pakar kriminologi berpendapat ada tiga jenis orang lari rumah.

Pertama dikenali sebagai adverture seekers yang ingin hidup bebas, kedua refugess iaitu keluarga terbabit kegiatan dadah, keganasan rumah tangga dan akhir sekali problem solvers apabila remaja lari rumah disebabkan perbalahan keluarga. Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Che Din dalam kajiannya menjelaskan punca utama remaja lari dari rumah ialah tekanan dalam keluarga, diikuti pengaruh kawan, ingin bebas, berselisih faham dengan keluarga, bosan dan kurang kasih sayang.

Polis pernah mengeluarkan statistik menunjukkan kes kehilangan remaja berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun semakin membimbangkan. Selain itu, ada kajian kriminologi kes remaja lari dari rumah yang berumur 11 hingga 14 tahun.

Remaja pada peringkat umur ini sering dikaitkan dengan krisis identiti atau kecelaruan fikiran kerana mereka sedang dalam proses mencari arah tuju. Isu krisis identiti selalunya merangkumi persoalan imej dan personaliti seperti hilang pedoman hidup. Remaja yang berfikiran cetek menghadapi kekeliruan dalam memilih jalan hidup melakukan apa sahaja mengikut perasaan yang tidak selari dengan norma positif. Sudah tentu mereka juga terpengaruh dengan pemikiran dan gaya hidup Barat.

Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini akan menjadi beban kepada masyarakat dan negara. Lebih menyedihkan remaja seperti ini tidak menyedari di sebalik simpati dan empati diberikan seseorang yang kononnya ingin membantu. Ini menambahkan masalah sehingga boleh menyebabkan mereka terjerat dengan masalah sosial lebih serius.

Yang pasti, kegagalan ibu bapa dalam memberikan perhatian dan sentuhan kasih sayang sehingga mengabaikan keperluan anak juga menjadi pendorong kepada remaja melarikan diri. Remaja lari dari rumah disebabkan hubungan kekeluargaan kian renggang.

Ibu bapa terpaksa keluar bekerja untuk menyara hidup kerana kos semakin meningkat. Hakikat yang tidak dapat disangkal ialah sikap ibu bapa mendidik anak hanya menggunakan pendekatan komunikasi sehala dan berasakan mereka sahaja yang betul serta kurang mendengar atau memahami permasalahan remaja. Tempat rujukan remaja Sepatutnya, mereka menjadi tempat rujukan dan memberi sokongan emosi yang konsisten melebihi hanya memenuhi keperluan kebendaan.

Maka, apabila suasana tidak mesra wujud, remaja mencurahkan permasalahan melalui laman sosial kepada rakan sebaya. Lantas, ada yang memberi cadangan penyelesaian supaya lari dari rumah untuk meredakan tekanan. Faktor konflik rumah tangga, perceraian, penderaan fizikal atau emosi, isu dadah, melabelkan remaja, masalah cinta serta ekonomi juga antara punca remaja lari rumah.

Antara punca lain berlaku gejala ini adalah kurangnya pegangan agama. Penulis sependapat dengan Khairudin Abas, seorang guru yang memberi pandangan untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan seperti berikut:

“Ada tiga aspek utama, iaitu penerapan ilmu daripada sudut iman, amal dan ketakwaan kepada Allah, kedua penguasaan akhlak dan yang ketiga, pendidikan sunah yang dijalankan oleh rasul, dengan cara tujuh tahun diajar solat iaitu tahap penting bagi setiap ibu bapa, 14 tahun diajar dengan ketegasan dan selepas 14 tahun sehingga besar, disantuni dan disahabati bersama mereka,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.