PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Dengan sekali lafaz, penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail kira-kira pukul 8.55 malam pada Khamis.

Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam, 29, disatukan sebagai suami-isteri dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di kediaman pengantin lelaki di Georgetown, Pulau Pinang.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Fauzi Ibrahim manakala Marsha diwakil walikan oleh hakim.

Marsha Milan sah bergelar isteri Mohamed Shaiful Nizam

Marsha yang kelihatan anggun dengan persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim menerima mas kahwin berjumlah RM1,001 daripada Mohamed Shaiful Nizam manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Pihak lelaki memberi tujuh dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang hantaran.

Upacara pernikahan diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua belah pihak dan juga rakan rakan kepada pasangan tersebut.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran rakan artis seperti Adira, Ozlynn, Adeline Tsen, Sharifah Sakinah, Elfira Loy, Michael Ang dan Dafi.

Marsha Milan sah bergelar isteri ahli perniagaan

Terdahulu, Marsha mendedahkan sudah memeluk agama Islam beberapa minggu lalu namun lokasi dan tarikh sebenar majlis pengislaman itu dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam terdahulu mengikat tali pertunangan pada 14 Disember lalu di Sabah.

Dalam pada itu, Marsha dalam kenyataannya kepada mStar Online berkata, dia berharap peminat mendoakan kesejahteraan perkahwinannya.

“Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya sudah selamat dan saya berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan saya dan perkahwinan ini.

“Terima kasih juga kepada keluarga saya dan keluarga mertua yang banyak membantu dan membimbing saya. Harapan saya, semoga penyatuan dua hati ini sentiasa dirahmati dan diberkati oleh-Nya,” kata Marsha.

Majlis resepsi kedua-dua pasangan berkenaan akan diadakan pada 8 Januari 2016 di Hotel Majestic dekat sini.

Mohamed Shaiful Nizam dan Marsha Milan sudah mengenali sejak 10 tahun lalu namun bibit percintaan mula berputik di antara mereka sejak dua tahun lalu.

(Baca: Kenali Mohamed Shaiful Nizam Ismail, Suami Marsha Milan)

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.