PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang murid perempuan Tahun Lima sebuah sekolah di sini mendakwa diculik tiga lelaki tidak dikenali di kawasan sekolah namun berjaya melepaskan diri, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa ditemui seorang guru berusia 53 tahun dalam keadaan menggigil dan ketakutan di pejabat sekolah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa memaklumkan kepada guru itu, seorang daripada lelaki berkenaan menutup mulutnya dengan tangan selepas mengumpan coklat sebaik sahaja keluar dari tandas lapor BH Online.

Murid perempuan hampir ditarik masuk van putih di sekolah

“Mangsa turut mendakwa dipaksa memasuki sebuah van putih dinaiki tiga suspek berkenaan yang diletakkan tidak jauh dari lokasi tempat letak basikal.

“Bagaimanapun, mangsa memaklumkan dia sempat meloloskan diri sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chang Keong berkata, susulan kejadian itu, guru berkenaan memaklumkan kepada ibu bapa mangsa sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas di sini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan mangsa dan guru berkenaan.

Katanya, polis turut mengambil keterangan beberapa saksi termasuk pengawal keselamatan dan tukang kebun bagi menyiasat dakwaan itu.

“Bagaimanapun, saksi berkenaan memaklumkan tidak melihat sebarang van putih masuk ke kawasan sekolah kerana setiap pelawat keluar masuk perlu mengambil pas dan menulis butiran di pintu pengawal.

“Hasil semakan dalam buku rekod mendapati tiada sebarang butiran mengenai van berkenaan atau mana-mana van dari vendor keluar masuk ke kawasan sekolah.

“Ketika kejadian, ramai murid dan ada guru berada di kawasan itu berikutan aktiviti kokurikulum sedang dijalankan,” katanya.

Chang Keong berkata, seorang pegawai psikologi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh akan menemubual mangsa bagi meneruskan siasatan berhubung kes itu.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.