PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Sah, pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bakal menaja The Red Warriors (TRW) selama dua musim, bermula tahun ini.

Penajaan syarikat milik anak kelahiran Machang, Kelantan itu dijangka melebihi RM16 juta.

Namun jumlah sebenar nilai tajaan hanya akan diumumkan pada sidang media majlis memeterai perjanjian penajaan berkenaan yang akan diadakan secara rasmi di sini pada 15 Januari nanti.

Perkara itu diumumkan usahawan wanita yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida itu bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Kedua-dua pihak mengadakan pertemuan peringkat akhir selama tiga jam di pejabat Annuar di Yayasan Pelajaran Mara, petang Jumaat.

Menerusi rundingan itu, Annuar berkata, Kafa turut bersetuju dengan dua syarat utama sebelum ini selain menerima 33 lagi syarat tambahan yang dikemukakan usahawan kosmetik termuka tersebut.

Dua syarat awal itu adalah Stadium Sultan Muhammad IV akan dicat warna merah jambu manakala nama pasukan Kelantan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors lapor Mstar.

Qu Puteh sah taja The Red Warriors

Vida bersama Annuar sejurus selepas pertemuan selama hampir tiga jam petang, Jumaat.

“Kita terima baik syarat tersebut. Namun perincian mengenai kontrak hanya akan dijelaskan pada sidang media ‎15 Januari nanti.

“Saya bersyukur kerana Datuk Seri (Vida) menunjukkan minat yang mendalam untuk memajukan pasukan ini.

“Agak memeranjatkan saya Datuk Seri Vida kaya dengan idea, TRW mendapat lebih banyak ilham dan pemasaran semula yang buatkan saya teruja sekarang kerana Qu Puteh punyai pendekatan sangat unik,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut mengumumkan pelantikan Vida sebagai Penasihat Kehormat Kafa bagi melancarkan urusan tatakelola dan pemasaran skuad TRW.

“Dengan jawatan ini, ertinya Datuk Seri dapat mencampuri secara langsung tentang urusan, tatakelola, kaedah-kaedah bagi memajukan pasukan bola sepak Kelantan. Tidak lagi jadi orang luar tapi dah jadi orang dalam kepada pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Vida menyatakan rasa bersyukur kerana diberikan penghormatan tertinggi oleh Kafa.

“Saya berasa bersyukur dan bangga menjadi Penasihat Kehormat Kafa yang saya tak pernah terfikir sebelum ini. Alhamdulillah di atas kepercayaan itu,” katanya.

Mengulas mengenai dua syarat utamanya sebelum ini, Vida menegaskan ia bukan sekadar gimik tetapi sebagai anjakan baharu kepada skuad bola sepak Kelantan.

“Sebanyak 33 syarat lagi saya telah kemukakan dan Alhamdulillah Tan Sri bersetuju dengan apa yang saya uar-uarkan itu. Perkara itu… wow sangat fantastik.

“Kita akan buka rahsia pertemuan kita pada Jumaat semasa sidang media itu nanti. Tunggu 15 Januari ini, membuka lebaran dan alaf baharu dalam arena sukan tanah air,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.