PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

BAGHDAD – Sebuah badan bukan kerajaan di wilayah Kurdi, utara Iraq bekerja sama dengan doktor tempatan dalam usaha mengembalikan keperawanan ribuan wanita yang berjaya melarikan diri daripada tawanan Daesh.

Sudah lebih setahun sejak kumpulan militan yang juga disebut sebagai IS itu menakluk sebahagian utara Iraq dan menculik lebih 7,000 wanita suku kaum Yazidi sebelum memaksa golongan tersebut menjadi hamba seks mereka.

Sejak itu, ribuan perempuan etnik Yazidi yang berjaya melarikan diri dan sebahagian besar dilaporkan menjadi sangat trauma setelah mengalami pengalaman pemerkosaan dan penganiayaan yang dideritai selama ditawan.

Seiring kesan murung akibat penderitaan yang dialami, kebanyakan mangsa ini dijauhi oleh komuniti mereka sendiri — yang sangat konservatif — kerana dianggap tidak suci pasca hilang keperawanan di luar pernikahan lapor Mynewshub.

Misi Kembalikan Dara Bekas Hamba Seks

Justeru organisasi non-pemerintah bernama Wadi ini telah mengambil pendekatan yang kontroversi demi cuba membantu gadis yang berjaya melarikan diri daripada Daesh ini, untuk mengembalikan semula kedaraan mereka.

Salah seorang petugas Wadi bernama Cheman Rashid Abdul Aziz menyatakan, selain menyediakan perkhidmatan kaunseling trauma bagi mangsa, mereka turut dibantu ramai doktor ginekologi atau pakar sakit puan tempatan.

Ini bagi membaiki semula alur faraj gadis minoriti Yazidi ini dengan kaedah rawatan menempelkan kembali sisa-sisa selaput dara mereka, atau mengambil sedikit kelentit kulit dari dinding lurah vagina mereka yang masih ada.

“Salah satu hal yang paling penting adalah bahawa gadis itu tidak boleh kehilangan keperawanan mereka hingga mereka menikah, mereka wajar menyerahkan dara suci mereka hanya kepada suami yang sah,” kata Cheman.

Dia menjelaskan: “Jika hilang keperawanan, mereka boleh dibunuh keluarga sendiri. Jadi gadis yang pernah diperkosa oleh Daesh ini, mereka malu pulang dengan berfikir, ‘Saya hilang dara dan keluarga akan bunuh saya’.”

Wadi mulai diasaskan pada tahun 1992 lalu di Timur Tengah serta aktif dalam kegiatan melobi untuk hak-hak warganegara golongan etnik minoriti di negara-negara rantau berkenaan termasuk Israel, Jordan dan Iraq.

Cheman menyatakan, tujuan Wadi adalah untuk membantu kelompok perempuan yang telah melarikan diri daripada menjadi tawanan Daesh mengatasi kesan mental teruk akibat penculikan dan menjadi hamba seks.

“Ketika gadis itu melarikan diri, keadaan psikologi mereka sangat buruk, ada bahkan tidak boleh bercakap. Kebanyakan gadis ini telah mengalami serangan seksual, dan didera – ada dipukul sampai mati,” tuturnya.

Dia mengatakan: “Wadi setakat ini telah bantu sekitar 660 mangsa etnik Yazidi serta keluarga mereka. Dari segi usia, kami telah tolong semua peringkat, sama ada tua dan muda, bahkan ada gadis berusia satu tahun.”

Cheman menambah, mereka pernah menerima kes dari seorang gadis bernama Sabrine, yang berusia 14 tahun ketika ia ditawan oleh Daesh dan ditahan militan ekstrem itu sebagai mangsa seks ganas selama lima bulan.

“Kondisi psikologinya sangat teruk dan kami mencuba untuk mengembalikan keperawanannya, tapi kami tidak mampu. Mangsa terlalu banyak diperkosa sehingga selaput farajnya amat susah diperbaiki semula,” ujarnya.

Sejak melarikan diri pada Januari tahun lalu, Sabrine telah cuba membunuh dirinya sebanyak 6 kali dan mengaku, jika gagal menemui seseorang untuk mengembalikan daranya, dia akan terus usaha bunuh diri sampai ia berhasil.

Situasi Sabrine memiliki dampak besar pada Cheman dan pasukan kaunselor trauma. Waima Wadi mengalami banyak kejayaan, mereka masih berjuang untuk memulihkan maruah wanita luka psikologi dan fizik lebih parah.

Mujur wanita ini berjaya melarikan diri kerana ramai yang gagal akan dipancung kepala atas kesalahan enggan melakukan persetubuhan dengan anggota Daesh dambakan ganjaran seks setelah penat berperang seharian.

“Apa yang saya inginkan adalah untuk benar-benar dapat membantu ribuan gadis mangsa kekejaman Daesh ini yang rosak faraj mereka, bukan sekadar hanya menulis laporan dan kembali duduk di pejabat,” ungkap beliau.

Dia menekankan: “Kami benar-benar ingin bekerja untuk mereka dan misalnya, mengembalikan keperawanan mereka agar dapat diterima semula hidup secara normal dalam masyarakat kaum Yazidi seperti sedia kala.”

“Dunia berkembang dan wajar ada organisasi boleh melakukan itu, tetapi Wadi tidak memiliknya di sini, seseorang harus perlu melakukan sesuatu untuk bela nasib ribuan gadis malang mangsa seks Daesh ini,” tegas Cheman.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.