PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Keselamatan di pintu masuk utama seperti lapangan terbang, stesen kereta api dan pelabuhan di Malaysia diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi ancaman serangan pengganas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Malaysia mula mempertingkatkan kawalan keselamatan pada tahun lalu apabila sumber perisikan mendedahkan kemungkinan serangan di Jalan Alor yang merupakan lokasi popular di ibu negara lapor Mstar.

Risiko serangan di Jalan Alor, Malaysia berhati-hati
Anggota polis melakukan pemantauan di sekitar KL Sentral.

“Lapangan terbang dan stesen kereta api adalah tempat awam dan kami sentiasa memberi tumpuan di kawasan ini.

“Kami menempatkan beberapa peralatan pengawasan dan anggota keselamatan. Kami akan terus mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia Airports Holdings Bhd turut mempertingkat sistem keselamatannya dan sentiasa berwaspada.

Katanya, Jabatan Imigresen turut memantau pergerakan anggota militan IS yang terdiri daripada warga Malaysia di Syria.

“Ini dilakukan bukan hanya selepas serangan di Jakarta tetapi sejak tahun lalu apabila kita diberi amaran berhubung kemungkinan serangan di Jalan Alor.

“Sejak itu kami terpaksa bertindak dan mengambil langkah lebih berwaspada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kesedaran sivik di sini, Isnin.

Liow turut menasihati orang ramai supaya tidak panik.

“Walaupun beberapa kawasan di ibu negara diklasifikasikan sebagai sasaran utama, rakyat Malaysia perlu bertenang dan yakin dengan tahap keselamatan di dalam negara ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada polis. Mereka berusaha keras termasuk menahan beberapa suspek militan IS untuk memastikan keamanan dan kestabilan berkekalan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, seperti yang didedahkan seramai 50,000 mereka yang menyokong kumpulan militan IS di dalam negara ini dan ia amat membimbangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, pegawai syarikat itu sedang bekerjasama dengan polis untuk mempertingkatkan keselamatan dan memastikan tiada perjalanan yang terjejas.

Prasarana merupakan pengendali perkhidmatan LRT, bas RapidKL dan KL Monorail.

“Kami memberi jaminan terhadap keselamatan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan awam dan kawalan dipantau tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.