PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Belenggu harga minyak mentah dunia berterusan apabila harga komoditi itu pertama kali jatuh ke paras USD29 setong Jumaat lalu.

Kemasukan Iran ke dalam pasaran global menyaksikan susutan komoditi itu ke paras terendah dalam tempoh 13 tahun.

Harga minyak mentah Brent kemudian susut ke USD28 dolar setong pada Sabtu susulan pemansuhan sekatan ekonomi ke atas Iran oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Iran yang mempunyai simpanan gas asli terbesar dunia dan simpanan minyak mentah keempat terbesar dunia, dijangka akan menambah kira-kira 100 ribu tong minyak sehari dalam masa sebulan serta 400 ribu tong dalam 6 bulan akan datang lapor Astro Awani.

Apa maknanya kepada Malaysia?

Kesan kejatuhan harga minyak mentah dunia terhadap Malaysia
Negara diunjur kehilangan RM300 juta bagi setiap USD1 kejatuhan harga minyak.

Bagi Malaysia, kerajaan melapor akan kehilangan sehingga RM300 juta pendapatan bagi setiap USD1 kejatuhan harga minyak di peringkat global.

Bagaimanapun pakar yang dihubungi Astro AWANI, Datuk Dr John Antony Xavier yakin kerajaan masih mampu menepati janji untuk tidak memotong perbelanjaan pembangunan walaupun berdepan susutan harga yang berterusan ini.

“Kehilangan dana ini perlu diimbangkan semula sama ada dengan mengurangkan bajet pembangunan atau bajet operasi.

Kerajaan akan memotong beberapa geran yang akan diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jadi beberapa projek infrastruktur mungkin diketepikan terlebih dahulu buat masa sekarang,” kata beliau.

Sementara itu mengulas mengenai beberapa perkembangan ekonomi semasa seperti pengesahan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata inisiatif ini lebih menjurus kepada perangsangan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Menurut John, apa yang akan lebih mempengaruhi harga minyak global adalah faktor seperti pemulihan ekonomi China.

“TPPA, AEC, ini semua langkah-langkah yang akan membantu merangsang ekonomi pesertanya bagi jangka masa panjang.

Tetapi China tidak termasuk dalam TPPA, dan ekonomi China dalam kesuraman kini. Jadi selagi ekonomi kedua terbesar dunia tidak memulih, maka kita tidak akan dapat melihat apa-apa kenaikan dalam harga minyak,” kata beliau.

John juga meramal lantunan semula harga minyak kepada paras USD60 setong hanya akan berlaku seawal-awalnya pada tahun 2017.

Beliau berkata bagi 2016, ia berkemungkinan melantun semula sehingga paras USD40 setong, tetapi mungkin juga susut serendah USD20 setong.

Menurut beliau, kerajaan kini wajar meletakkan paras harga minyak rujukan baru sekitar USD30 sehingga USD32 setong dalam pengubahsuaian bajet pada 28 Januari ini.

Ini berbanding kadar purata USD48 setong pada pembentangan 2015.

Setakat 4.35 petang Isnin, harga Brent berada pada paras USD28.59 manakala harga West Texas Intermediate (WTI) diletakkan pada USD29.06 setong.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.