PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menetapkan dua syarat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum bersedia menaja badan induk itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

Dua syarat berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu skuad Kelantan seharusnya didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW). Dr Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Qu Puteh berkata syarat yang dituntut itu bukan saja dapat mengubah wajah pasukan Kelantan, malah yang lebih penting pasukan itu memperoleh suntikan dana untuk mengubah semula kredibilitinya lapor Berita Harian.

Dua syarat dikenakan Dato Seri Vida dan Qu Puteh untuk taja pasukan bola Kelantan

“Soal tajaan, saya tidak kisah… Jika mereka tidak cukup perbelanjaan, saya boleh salurkan. Mereka memerlukan dana secepat mungkin dan saya bersedia membantu tetapi bersyarat. “Syarat pertama, Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu kerana ia dapat menghasilkan satu kelainan kepada penyokong bola sepak Kelantan.

“Kedua, nama pasukan seharusnya ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors seperti Negeri Sembilan yang menukar nama pasukan itu kepada NS Matrix. “Biarlah kita sama-sama membangunkan pasukan Kelantan yang dulunya amat disegani oleh pasukan lain,” katanya.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, optimis mendapatkan sebanyak mungkin tajaan bagi meningkatkan semula prestasi skuad TRW dalam saingan Liga M musim 2016. Antara penaja yang sedia membantu ialah Vida Beauty Sdn Bhd apabila beliau mengesahkan mengadakan pertemuan dengan Dr Hasmiza Sabtu lalu bagi merealisasikan permintaan rakyat Kelantan yang mahu melihat pengeluar produk kecantikan `Qu Puteh’ dan jus Pamoga itu menaja pasukan kesayangan mereka.

Mengulas lanjut, Dr Hasmiza berkata walaupun rundingan awal menemui kegagalan, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada KAFA untuk melakukan perbincangan lebih terperinci mengenai penajaan itu. “Dalam pertemuan sebelum ini, kami tidak melakukan rundingan secara serius sebaliknya saya hanya memberi pengenalan saja mengenai tajaan itu.

“Bagi saya permintaan KAFA tiada masalah, cuma bila saya tunaikan, mereka perlu memberi ruang kepada saya untuk melakukan sesuatu yang positif kepada pasukan. “Saya memang terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini memandangkan saya berasal dari Machang, Kelantan. Saya pasti rundingan akan dilakukan lagi kerana KAFA memang memerlukan bantuan saya,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.