PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Pelakon dan penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) mengakui Johan Raja Lawak antara faktor dia berminat dengan program Maharaja Lawak Mega (MLM).

“Sejujurnya saya tidak pernah menonton MLM. Cuma tonton video di laman YouTube sahaja. Tetapi apabila teman-teman Indonesia pernah menjadi juri, saya tertarik untuk terlibat dengan MLM 2016.

“Saya juga cuma kenal Johan dari kumpulan Jozan sahaja. Dia seorang yang sangat kelakar. Jadi kerana mereka saya rasa mula berminat dan teruja untuk merasai bagaimana suasana menonton program ini secara langsung.

“Lagi pun MLM cukup popular di Malaysia, jadi siapa yang tidak mahu berada dalam program seperti ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Sebab Bunga Citra Lestari minat Maharaja Lawak Mega

Bagaimanapun menurut BCL, perbezaan bahasa membuatkan dirinya sukar memahami lawak yang cuba disampaikan.

“Masalah utama saya adalah bahasa sehingga susah untuk saya memahami lawak yang dipersembahkan oleh mereka. Kadang kala peserta cakap terlalu laju, jadi saya sedikit bingung.

“Tapi pada saya kekuatan bukan hanya pada kata-kata, expression dan body language sudah cukup membuat saya untuk terhibur,” ujarnya.

Tambahnya, ada yang bakal menjadi peserta ‘favourite’ kerana mampu mengawal pentas dan penonton dengan bagus.

“Saya tidak mahu dedahkan nama kumpulan yang saya suka dengan persembahan mereka. Masih terlalu awal, tetapi saya percaya minggu pertama peserta masih gugup.

“Salute juga buat peserta solo kerana bukan mudah untuk buat orang tertawa terutamanya di pentas hebat seperti MLM. Kita lihat sahaja persembahan minggu kedua bagaimana keputusannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bunga Citra Lestari baru sahaja selesai penggambaran filem di Indonesia dan Malaysia yang  berjudul ‘My Stupid Bos’ yang turut menampilkan pelakon dari Malaysia, Bront Palarae.

Selain BCL, juri tetap MLM 2016 dibarisi oleh Shaheizay Sam dan Ziana Zain. Sementara pengacara terkenal Asia, Najip Ali kali kedua mengisi kerusi juri MLM.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.