Header Ads

Loading...

BENARKAH CIK SITI WAN KEMBANG RAJA PEREMPUAN PERTAMA DI KELANTAN??

Nama Cik Siti Wan Kembang merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi rakyat negeri Kelantan. Bahkan, kisah mengenainya turut dijadikan sebagai satu lagenda yang mashyur dari satu generasi ke generasi yang lain. Cik Siti Wan Kembang atau nama sebenarnya Cik Wan Kembang merupakan wanita pertama yang menjadi raja dan memerintah selama 67 tahun. Baginda merupakan keturunan keenam Sultan Iskandar Shah serta merupakan anak kepada Sultan Ahmad. Namun, ketika Cik Wan Kembang berusia empat tahun, ayahandanya telahpun mangkat.

BENARKAH CIK SITI WAN KEMBANG RAJA PEREMPUAN PERTAMA DI KELANTAN??

Menurut catatan sejarah, gelaran ‘Siti’ telah diberikan oleh seorang pedagang Arab yang membahasakan Cik Wan Kembang dengan panggilan ‘Siti” yang bermaksud gelaran untuk perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai. Cik Siti Wan Kembang dikatakan turut digelar sebagai Paduka Cik Siti. Cik Siti Wan Kembang mula memerintah Kelantan pada tahun 1610 dan usianya ketika ini kira-kira 30 tahun. Baginda Cik Siti telah menggantikan Raja Hussin yang memerintah selepas kemangkatan Sultan Ahmad.

Untuk pengetahuan pembaca, Cik Siti Wan Kembang memegang tampok pemerintahan di Gunung Chintawangsa yang kini dikenali sebagai Gunung ayam, terletak di Hulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer dari Kuala Krai. Semasa pemerintahannya, Kelantan begitu mashyur dan disenangi oleh semua rakyatnya. Kelantan juga sentiasa dikunjungi oleh pedagang dari Tanah Arab dan China yang menjadikan nama Cik Siti terus terkenal. Walaupun Cik Siti Wan Kembang seorang wanita, namun baginda berjaya memerintah kerajaan dengan bijak dan sentiasa memastikan kerajaannya berada dalam keadaan selamat.

Setelah beberapa seketika, Cik Siti Wan Kembang merancang untuk membuka satu lagi kawasan pentadbirannya sebagai langkah berjaga sekiranya Gunung Chintawangsa diserang musuh. Oleh itu, baginda telah membuka satu lagi kawasan pemerintahannya di Kota Tegayong atau dikenali juga sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga yang kini terletak di daerah Keterah. Baginda juga mempunyai seekor anak kijang yang menjadi haiwan kesayangan baginda sehingga kijang tersebut dijadikan sebagai lambang negeri Kelantan.

Cik Siti Wan Kembang juga dikatakan tidak pernah berkahwin kerana baginda lebih suka hidup keseorangan tanpa suami. Pun begitu, baginda memerlukan seorang pewaris untuk mewarisi takhtanya. Ketika mengadap Raja Loyor di Jembal, baginda Cik Siti telah berkenan untuk mengambil puteri Raja Loyor untuk dijadikan anak angkatnya iaitu Puteri Sa’adong atau dikenali juga sebagai Puteri Mariam. Hubungan baik antara Cik Siti Wan Kembang dengan Raja Loyor telah menyakinkan Raja Loyor untuk menyerahkan Puteri Sa’adong kepada Cik Siti Wan Kembang.

Puteri Sa’adong merupakan seorang gadis yang sangat cantik rupa parasnya. Penduduk Gunung Chintawangsa juga turut menggelarkan Puteri Sa’adong sebagai Puteri Wijaya Mala. Kecantikkan Puteri Sa’adong telah sampai ke pengetahuan Raja Siam dan telah menghantar rombangan meminang namun ditolak oleh Cik Siti Wan Kembang. Untuk mengelakkan sebarang masalah, Cik Siti Wan Kembang telah mengahwinkan Puteri Sa’adong dengan sepupunya sendiri iaitu Raja Abdullah yang sebelumnya dimahkotakan di Kota Tegayong dan seterusnya berpindah ke Kota mahligai.

Pemerintahan Cik Siti dikatakan berakhir setelah baginda melantik Raja Abdullah sebagai raja di Kelantan. Selepas Raja Abdullah ditabalkan sebagai raja di Kota Tegayong, Cik Siti telah kembali ke Gunung Chintawangsa dan kisahnya selepas itu tidak lagi diketahui. Berakhirlah pemerintahan raja perempuan pertama di Kelantan yang memerintah dari tahun 1610 sehingga 1677.

Namun begitu, sehingga sekarang, nama Cik Siti Wan Kembang masih lagi segar di bibir masyarakat Kelantan yang turut menjadikan nama Cik Siti Wan Kembang sebagai nama timbangan untuk negeri Kelantan bahkan turut dikenali oleh masyarakat luar. Tidak mungkin sejarah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang begitu mashyur dan terkenal suatu masa dahulu dapat dilupakan begitu sahaja walaupun zaman bersilih ganti.
Loading...

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.