Header Ads

Loading...

Surat Terbuka Untuk PPIM Berkenaan Isu Pembelaan Doktor Gigi Palsu

"Mahu bantu sesama melayu?" - Surat Terbuka Untuk PPIM Isu Bela Doktor Gigi Palsu

SURAT TERBUKA UNTUK PPIM BERKENAAN ISU PEMBELAAN DOKTOR GIGI PALSU

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum wbt.

Sejujurnya saya perlu mengambil sedikit masa bertenang setelah isu ini timbul. Tidak mahu diri dikuasai emosi yang menggelegak dan kekecewaan yang membuak-buak sehingga mengkelabukan akal fikiran. Saya percaya rata-rata rakan dalam bidang pergigian dari pelbagai peringkat di Malaysia pada ketika ini amat kecewa dengan musibah ini. Tapi saya juga percaya dengan hanya perli memerli, kutuk-mengutuk dan saling salah menyalahkan antara satu sama lain tidak pernah akan menyelesaikan masalah.

Selain dari salah seorang penjawat awam cabuk di Malaysia, saya juga merupakan orang awam biasa yang selama ini memandang tinggi dan mengkagumi usaha berani mati pihak PPIM dalam menangani masalah pengguna islam yang tertindas terutamanya kes penipuan perumahan boy iman yang saya ikut rapat sejak akhir-akhir ini. Betapa pantas dan efektifnya cara yang diguna pakai oleh PPIM sehinggakan kes yang bertahun tertangguh dengan repot polis yang berlambak ini akhirnya telah membawa boy iman ke muka pengadilan. Begitu jua dalam hal-hal lain, PPIM turut lantang menghentam pemimpin yang korup dan songlap tanpa memperdulikan status orang-orang kenamaan tersebut.

Namun dalam kes adik fara ini, ada sesuatu yang tidak kena apabila beliau yang telah dikenakan tindakan mahkamah, melalui undang-undang yang sah dibawa ke muka pengadilan pula yang telah dibela oleh PPIM. Kalau diikutkan hati, amatlah kecewa rasanya seolah-olah tiada siapa lagi yang boleh dipercayai untuk mengangkat undang-undang negara kerana jika hukuman telah dilaksana, ia masih dipertikaikan lagi siapa yang betul siapa yang salah. Namun setelah meletakkan diri saya di pihak PPIM, saya tidak menyalahkan mereka sepenuhnya. Tugas PPIM adalah membela pengguna yang dianiaya, dan semestinya setiap dari pengadu yang mendapatkan khidmat PPIM adalah mereka yang merasakan diri mereka ditindas. Dari kes ini fahamlah saya, berkemungkinan besar pihak ppim sendiri tidak faham apa dan siapa yang mereka patut perjuangkan. Sedikit teguran dari saya yang kecil ini, agar pihak PPIM meneliti terlebih dahulu dan mengkaji latar belakang setiap kes yang diterima agar tidak semberono memperjuangkan pihak yang salah.

Untuk memudahkan pemahaman, saya analogikan kes ini umpamanya PPIM membela boy iman dengan menyerang dan menyalahkan pembeli rumah. Jika boy iman terlebih dahulu telah datang kepada PPIM dengan mengatakan beliau adalah insan tertindas yang cuma mahu berniaga secara aman dan membantu bani melayu mendapatkan sebuah banglo idaman sudah pasti PPIM akan turut membela beliau tanpa memahami apa yang sebenarnya terjadi. Begitu jua dalam kes penipuan kendalian bisnes pendakap palsu oleh doktor gigi palsu tak bertauliah ini yang akan diterangkan satu-persatu agar dapat dilumat serta dihadamkan.

Baru-baru ini gempar kes seorang kes seorang doktor gigi palsu yang menjalankan rawatan mengenakan pendakap gigi secara haram di sebuah homestay telah ditahan setelah didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil. Tertuduh telah mengaku bersalah serta telah dijatuhi hukuman denda sebanyak rm70,000 daripada peruntukan denda sebanyak rm300,000 atau 6 tahun penjara setelah merayu agar hukuman diringankan atas alasan insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan . Gadis berusia awal 20-an graduan kolej vokasional tersebut kemudiannya telah cuba meraih simpati orang ramai dengan menularkan bahawa beliau telah ditindas dan memohon bantuan derma diikuti dengan pembelaan dari pihak PPIM . Beliau belum insaf lagi nampaknya sebagaimana ketika rayuan pengurangan hukuman dibuat.

Persoalannya adakah PPIM dan pihak tertuduh faham dengan impak pekerjaan haram yang telah beliau lakukan?. Maka izinkan saya memberi penerangan serba sedikit.

Surat Terbuka Untuk PPIM Berkenaan Isu Pembelaan Doktor Gigi Palsu

1. Setiap pengamal pergigian di Malaysia ini terikat dengan “code of professional conduct”. 

Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar akta yang telah ditetapkan atau mereka akan berhadapan dengan tindakan denda dari pihak berwajib. Antara beberapa syaratnya adalah premis klinik perlu mematuhi syarat-syarat ketat seperti kewajipan menyediakan alat pensterilan yang betul, memaparkan sijil tauliah di premis, memaparkan harga cas rawatan, mempunyai rekod pesakit yang lengkap dan sebagainya.

- tertuduh telah dengan JELAS melanggar ke semua syarat dan akta tersebut serta telahpun membuat pengakuan di mahkamah. Bermaksud beliau bukanlah difitnah mengadakan perkara yang tidak benar. Tertuduh dengan tidak malu mengaku sebagai doktor gigi dan dengan berani membuka klinik tidak berdaftar. Ia adalah suatu kesalahan yang amat besar. Jika doktor gigi yang punya tauliah serta perlu membayar cukai yang tinggi setiap tahun pun tidak lepas dari didenda atas kesalahan apatah lagi beliau seorang yang langsung tidak punya latar belakang belajar pergigian. Adakah dengan berbekalkan paras rupa yang cantik sahaja sudah cukup untuk menjadi kebal dari sebarang tindakan undang-undang?. Stigma masyarakat kita masih tebal, asalkan cantik, bertudung dan bermuka acah-acah suci maka benarlah mereka dianggap ditindas tidak bersalah. Bagaimana jika alat tidak disteril dengan betul dan pesakit mendapat penyakit hepatitis atau HIV melalui kesilapan mereka? Siapa yang mahu bertanggungjawab? Siapa pula yang mahu dipersalahkan? Siapa yang dianiaya? Salah seorang mangsa fake braces sendiri pernah mengadu kepada saya alatan tersebut hanya dicuci dengan air paip sahaja dan alat pemasangan digunakan berulang kali kepada pelanggan berlainan.

Akta dan undang-undang pergigian telah diwujudkan bertujuan bagi melindungi hak pengguna dan pesakit agar mereka mendapatkan rawatan yang betul dari orang yang betul. Namun sekiranya doktor palsu ini dibela mereka pasti akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan melangkui undang-undang kerana ada pihak yang menyokong. Ia umpama situasi doktor PHD palsu yang tak terbendung di Malaysia. Masyarakat sudah tidak tahu membezakan mana satu doktor betul mana satu yang tidak, akhirnya merana diri bila mendapat khidmat nasihat dari pihak yang salah. Adakah PPIM gagal memahami situasi ini?

2. Di peringkat KKM telah lama diwujudkan “enforcement team” di setiap negeri.

Mereka ini berfungsi untuk memantau premis-premis pergigian berdaftar di Malaysia agar peraturan dan akta yang telah digubal sentiasa dipatuhi. Selain itu mereka juga perlu mengenalpasti dan membanteras kewujudan doktor gigi palsu. Pasukan ini terpaksa melakukan intipan selama berbulan-bulan, menyamar, dan seterusnya barulah tangkapan dibuat setelah kepastian diperoleh. Bukan sewenangnya mereka datang berlagak samseng atau sebarangan membuat pertuduhan atas setiap aduan yang diterima. Setiap tindakan mereka adalah melalui tindakan undang-undang yang sah. Dalam erti kata lain pasukan ini adalah seperti polis pergigian. Ia bukanlah perkara baru, KKM telah terlebih dahulu mewujudkan team ini bagi mengelakkan ada pihak-pihak yang teraniaya. They are our real unsung heroes. Oleh itu, saya syorkan supaya pihak PPIM mengadakan pertemuan secara empat mata dengan pihak pergigian Malaysia bagi memahami situasi yang sedang mereka perjuangkan.

Surat Terbuka Untuk PPIM Isu Bela Doktor Gigi Palsu

3. Memasang pendakap gigi tidaklah semudah abc dengan hanya belajar di youtube.

Diakui trend memakai pendakap semakin popular di kalangan remaja ketika ini dan semestinya masyarakat memilih untuk mencari alternatif murah apatah lagi bila dijanjikan bulan bintang gigi yang teruk berterabur akan lurus cantik dalam masa sebulan. Maka ramai pula yang mengambil kesempatan dengan membina perniagaan haram melalui ini dengan hanya bayaran semudah rm 500. Nampak murah tapi sebenarnya neraka untuk pelanggan mereka dan doktor-doktor pergigian. Mana-mana doktor gigi pakar pun akan mengatakan ianya kerja gila untuk merapatkan gigi dalam masa sebulan. Kami menerima terlalu banyak aduan pesakit yang datang dengan masalah dari fake braces. Bukan satu atau dua kes, tapi hampir dari kebanyakan kes fake braces. Doktor gigi palsu tidak mahu bertanggungjawab, akhirnya mereka terpaksa jua datang mengadu kepada kami untuk membetulkan masalah gigi. Gigi sudah goyang dan ada yang perlu dicabut kebanyakannya, gigi lari dari barisan, kes keracunan darah disebabkan pendakap murah berkarat dan banyak lagi. Muda-muda lagi dah hilang gigi, belum lagi ribuan wang yang terpaksa dikeluarkan oleh pesakit bagi merawat kerosakan yang dilakukan oleh doktor gigi palsu tersebut. Ianya ibarat mimpi ngeri.

Kesan inilah yang amat kami takuti dan kesan ini jugalah yang gagal difahami oleh pihak PPIM, orang awam, dan doktor gigi palsu itu sendiri. Untuk memasang pendakap gigi seseorang itu harus tahu dan faham sepenuhnya mekanisme rawatan. Pesakit perlu mengambil xray terlebih dahulu sebelum doktor membuat pengiraan terperinci, seterusnya braket perlu dilekatkan pada sudut yang betul dan hanya gigi tertentu ditarik menggunakan getah secara berkala. Kadar gerakan gigi juga perlu dikira kerana sekiranya ia bergerak terlalu banyak dalam tempoh singkat, kadar kehilangan tulang akan melebihi kadar pembentukan tulang. Akhirnya itulah yan terjadi kepada kebanyakan mangsa doktor penipu ini iaitu kehilangan gigi di usia muda. Kami yang doktor gigi biasa pun tidak berani untuk memandai-mandai memasang pendakap gigi palsu sebelum belajar ke bidang kepakaran yang bakal mengambil masa lagi 4 tahun. Bukan kami nak dengki sesame melayu sebagaimana tuduhan tidak berasas oleh wakil NGO seperti dalam video yang tertular (maaf saya tidak tahu nama beliau). Saya mohon agar beliau buka mata hati untuk memahami situasi ini yang sebenarnya jauh lebih besar impaknya kepada orang awam/pelanggan yang tidak bersalah. Siapa yang sebenarnya menipu dan siapa yang tertipu. Sekiranya kesemua mangsa-mangsa penipuan yang telah pun kehilangan ribuan ringgit dan paras rupa dek musibat doktor gigi palsu ini datang mengadu kepada ppim, saya percaya ppim juga akan ambush para doktor gigi palsu ini. Kesemua mangsa kebanyakannya masih muda, mendiamkan diri kerana tidak tahu saluran untuk mengadu, malu, serta dipersalahkan kembali oleh doktor palsu ini yang cuma mahu melepaskan tangan semata-mata. Tanya kembali kepada tertuduh sama ada pesakit beliau menandatangani ‘consent’ iaitu kebenaran rawatan yang merupakan kontrak antara doktor gigi dan pesakit kerana ‘consent’ inilah yang kelak bakal melindungi seorang pesakit atau doktor sekiranya apa-apa berlaku. Sudah tentunya tiada bukan?

3. Gaji doktor gigi tinggi? Kami nak aniaya tertuduh? Dengki dengan melayu?

-Gaji basic permulaan seorang doktor gigi hanyalah rm 3k++. Boleh dikatakan tidak berbaloi dengan tempoh pengajian dan segala keperitan perih jerih sewaktu belajar dahulu. Belum lagi dicampur dengan segala tohmahan dan skeptikal masyarakat terhadap profesion kedoktoran dan pergigian. Adakalanya, saya dan rakan-rakan sendiri rasa macam nak jadi penjual fake braces sahaja. Dengan berbekalkan sijil pergigian yang sudah tentunya asli tentu tidak sukar mendapatkan pelanggan yang ramai. Tahukah anda kebanyakan pendapatan penjual fake braces aka doktor gigi palsu ini adalah melebihi 10k sebulan . Hampir menyamai gaji specialist kami bahkan lebih tanpa perlu bersusah payah dan membayar cukai. Hanya perlukan sedikit skill untuk menjahanamkan gigi pesakit dan berlepas tangan di kemudian hari mereka sudah mampu melaungkan slogan kaya dan berjaya. Ya, berjaya menghancurkan hidup orang. Namun sebagai insan yang masih punya etika, tidak tergamak kami mahu melakukannya. Kaya cara mudah, namun akhirnya menjawab di akhirat kelak

4. ‘doktor melayu kaya gampang yang hanya nak lepaskan KPI?’

Maaf saya quote balik kata-kata wakil NGO yang terlibat. Tapi adakah saudara sendiri faham apa itu KPI? Macam mana KPI tu boleh wujud?. Saya khuatir saudara kurang arif tentangnya dan hanya melatah tak tentu hala dengan bahasa yang tidak melambangkan seorang muslim yang baik. Saya mahu ulas sedikit sahaja tentangnya. Ya kami memang mahu memastikan KPI dicapai setiap tahun dan kami berhempas pulas merealisasikannya. Apabila pesakit mengadu masa menunggu terlalu lama, KPI masa diwujudkan dan kami berhempas pulas untuk memastikan setiap dari pesakit kami menerima rawatan dengan kadar waktu segera tanpa mengabaikan aspek kualiti perkhidmatan kami kepada mereka. Apabila didapati kadar kesihatan pergigian merudum, maka berbondong jualah pihak pergigian ini turun padang cuba meraih setiap lapisan masyakat bagi memberikan pendedahan dan ceramah dan menganal pasti di mana puncanya. Dan jika didapati semakin banyak doktor gigi palsu menjalankan perniagaan secara berleluasa maka sekali lagi berhempas pulaslah doktor gigi ini berusaha membanterasnya. Sebenarnya setiap KPI baru yang diwujudkan adalah bertujuan untuk kembali membantu pesakit dan masyarakat serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kami. Jika ianya tidak wujud, mungkin sehingga hari ini ramai doktor tidak ambil endah tentang pesakit mereka. Malanglah semua usaha ini seolah terbuang ke longkang jika akhirnya ada pihak lain pula tampil membela mereka yang bersalah.

Surat Terbuka Untuk PPIM Isu Bela Doktor Gigi Palsu

5. Mahu bantu sesama melayu?

Saya setuju untuk rakyat bantu gadis yang kononnya tertindas tersebut walaupun beliau jelas sekali telah menindas hak pesakit-pesakit beliau dan hak pengamal pergigian yang sah di Malaysia. Cuma bantulah dengan cara yang betul seperti wujudkan dana untuk hantar beliau belajar pergigian. Dia perlu berkorban sedikit dengan belajar mengikut salurannya. Tiada istilah kaya dengan mudah dalam dunia ini. Setiap yang mahu kita kecapi perlu ada pengorbanan. Mengambil jalan mudah dengan menjadi doktor gigi palsu tidak ubah seperti scammer-scammer di luar sana. Menipu untuk kaya dalam masa singkat. Apabila berbuat salah, ia tetap salah dan perlu dikenakan hukuman. Jika mahu berniaga, berniagalah dengan cara yang halal dan mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.

Akhir kata, saya tidak melihat isu kontroversi ini sebagai sebuah pengakhiran yang menyedihkan. Sebenarnya ia juga suatu yang baik dan secara tidak langsung telah menjadi iklan percuma untuk kita bantu buka mata rakyat Malaysia berkenaan rawatan pergigian yang betul. Sedar atau tidak masih ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak faham apa yang dilakukan oleh doktor gigi di dalam mulut mereka. Mereka tidak faham bagaimana gigi yang rosak itu ditampal, bagaimana mekanisme rawatan akar, bagaimana pendakap gigi berfungsi menarik gigi sehingga lurus, bagaimana kebersihan gigi yang teruk mempengaruhi kesihatan dan sebagainya. Begitu jua dengan pihak PPIM dan pengendali fake braces yang gagal memahami perkara asas ini kerana mereka melihat dari kaca mata orang awam yang tiada pengetahuan tentangnya. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita pengamal pergigian untuk terus usaha membantu educate orang awam. Saya kurang pasti adakah dengan cara promosi berjoget sana-sini, berbuskers, koir dan flash mob agak kurang berkesan dalam memberi pemahaman kepada rakyat? Seronok-seronok akhirnya pulang tanpa pengertian apa-apa atau sedikit sahaja yang masuk ke minda? Yang pasti kami dari pihak pergigian berusaha keras untuk meraih masyarakat. Tak cukup dengan itu pelbagai ceramah, booth, video, demo turut dilakukan di pelbagai tempat. Mungkin juga boleh saya syorkan agar video pergigian dimuatkan di iklan-iklan televisyen sebagaimana iklan ubat gigi dibuat kerana kesannya lebih kuat ke atas minda.

Saya juga dengan rendah hati memohon agar pihak PPIM dan pihak NGO lain yang terlibat untuk meneliti kembali perjuangan mereka dalam isu ini serta bersua muka dengan pihak pergigian Malaysia pagi mendapatkan penjelasan sebelum menyalahkan sesiapa. Jutaan terima kasih jua saya ucapkan kepada anda kerana membantu kami membuka mata orang ramai bagi memahami isu ini.Semoga ada penyelesaian yang baik antara kita semua. Jika ada yang kurang serta salah dan silap dalam penulisan saya ini, saya mohon teguran yang baik agar dapat saya perbaiki.

Sekian.

Doktor gigi comel anda
#Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Loading...

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.