Header Ads

Kisah Sejarah Keturunan Jamalullail Dan Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Loading...
Menurut sejarah, Perlis ditubuhkan sebagai sebuah negeri selepas Siam berundur dari Kedah. Raja Perlis yang pertama ialah Syed Hussain Jamalullail bin Syed Harun Jamalullail. Menurut Buyong bin Adil, baginda ditabalkan menjadi Raja Perlis oleh Raja Siam di balairong seri kerajaan Siam di Bangkok dan diperkenankan oleh Raja Ligor Nakhon Si Thammarat.

Waktu itu, Sultan Kedah baru berangkat pulang dari Melaka dan Pulau Pinang. Akhirnya, Sultan Kedah juga memperkenan dan kemudian mengisytiharkan Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis yang pertama. Kisah ini mempunyai beberapa versi. Kita baca dahulu sejarah Jamalullail datang ke Kedah.

"Keturunan Jamalullail Ini Berasal Dari Hadramaut" - Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Keturunan Jamalullail ini berasal dari Hadramaut. Orang pertama dari jurai Jamalullail yang tiba di Kedah pada tahun 1735 ialah Syed Ahmad bin Syed Hussien Jamalullail. Antara tujuan utama kedatangan Syed Ahmad adalah untuk berdakwah dan berdagang. Beliau datang bersama-sama anak saudaranya iaitu Syed Alwi ke Palembang terlebih dahulu. Setelah itu, Syed Ahmad berhijrah pula ke Kedah manakala Syed Alwi pergi ke Betawi (Jakarta).

Beliau berkahwin dengan Sharifah Aminah binti Syed Mohammad al-Qadri di Kampung Limbong, Kedah (dalam kawasan Langgar). Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan putera bernama Tuan Syed Abu Bakar Harun (Syed Harun) pada tahun 1737. Namun, Syed Harun ditakdirkan menjadi anak yatim ketika berusia 14 tahun. 

Setelah ayahnya meninggal dunia dan dikebumikan di Kampung Limbong, Syed Harun dijaga oleh bapa saudaranya, Syed Ibrahim al-Qadri, yang ketika itu telah menjadi seorang ulama di Chenak (Channa), Patani, Thailand. Syed Ibrahim juga dikenali sebagai Tokku Chenak. Syed Harun belajar agama di sini sehingga beliau menjadi seorang ulama.

Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Namun, Raja Singgora (Songkla) mula memburu Syed Harun kerana dia telah mendapat khabar angin bahawa seorang sayyid mahu merampas takhta Singgora. Bagi menyelamatkan diri, Syed Harun dan Tokku Chenak terpaksa lari bersama-sama 500 orang pengikutnya dan 30 ekor gajah sehingga sampai di Arau. 

Lalu, mereka membuka penempatan di Padang Siding, Arau. Mereka kemudian menghadap Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (Raja Muda Kayang) yang berkuasa di Perlis dan Setol dan baginda mengizinkan mereka menduduki Arau dan Padang Siding.

Syed Harun buat pertama kali berkahwin dengan sepupunya, Sharifah Mariam binti Syed Ibrahim al-Qadri namun tidak mendapat zuriat. Ketika mereka sudah bermastatutin di Arau, isterinya meninggal. 

Beliau kemudian berkahwin dengan puteri Sultan Dhiauddin Mukarram Shah iaitu Tunku Sofiah (dikenali sebagai Tengku Tunjong). Pada tahun 1798, Sultan Dhiauddin telah menyerahkan Mukim Arau kepada Syed Harun sepenuhnya dan beliau dilantik menjadi Penghulu Mukim Arau yang pertama. 

Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Dengan penyerahan ini, Arau seterusnya akan ditadbir oleh Syed Harun dan anak serta cucu-cicitnya sehinggalah sekarang. Namun, Syed Harun dengan Tunku Sofiah tidak beroleh anak. Tunku Sofiah dengan rela hati mengizinkan Syed Harun berkahwin lagi untuk mendapatkan zuriat. Dengan syarat, zuriat yang lahir itu mestilah diberikan kepada Tunku Sofiah.

Akhirnya, Syed Harun berkahwin dengan anak seorang pembesar di Kota Kayang iaitu Wan Fatam (Wan Fatimah) bin Wan Abdul Rahman bin Dato Johan Lela Perkasa yang berasal dari Ujong Salang lalu mendapat dua orang putera iaitu Syed Hussain (lahir 1805) dan Syed Abdullah serta seorang puteri, Sharifah Aisyah. Pada tahun 1825, Syed Harun meninggal dunia. Lalu, Syed Hussien dilantik menjadi Penghulu Arau yang kedua.

Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Wan Fatimah telah memberi cadangan kepada Tok Arau untuk menubuhkan negeri Perlis apabila Siam berundur. Nama sebenar Tok Arau ialah Muhammad Arsyad bin Muhammad Yunus dan dikenali juga sebagai Datuk Awang. Beliau berasal dari Chenak dan datang bersama-sama Syed Harun ke Arau. Datuk Awang juga dikenali sebagai Tok Arau atas usahanya menjumpai ‘Arau’ sebagai tempat yang dikehendaki oleh Syed Harun Jamalullail. Arau bermaksud ‘cari beramai-ramai’.

Antara tahun 1821-1841, tentera Siam sedang menjajah Kedah. Keadaan ini memaksa Sultan Ahmad Tajuddin II (1804-1845) lari ke Melaka. Syed Hussien bersama-sama Tunku Anum dan Tunku Bisnu telah berpakat untuk menghalau Siam dari tanah air. 

Tidak cukup setakat itu, Tunku Anum dan pasukannya menggunakan kemahiran berdiplomasi untuk berbincang dengan Raja Siam, Nang Klao (Rama III) sehingga akhirnya Raja Siam bersetuju untuk mengembalikan takhta Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin II.

Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Bagi menghargai jasa ketiga-tiga orang ini, maka Sultan Ahmad Tajuddin II telah menyerahkan tiga buah daerah kepada mereka. Kubang Pasu diserahkan kepada Tunku Anum dan Tunku Anum memerintah negeri Kubang Pasu Darul Qiyam yang berpusat di Pulau Pisang sehingga kemangkatannya pada tahun 1853.

Jajahan Kayang diserahkan kepada Syed Hussien dan Setol diserahkan kepada Tunku Bisnu. Ketiga-tiga daerah itu berdiri sendiri sebagai sebuah kerajaan. Pada tanggal 20 Mei 1843, dengan rasminya Syed Hussien ditabalkan menjadi Raja Perlis yang pertama. 

Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Bagi mengenang jasa baik Tok Arau yang menjadi tulang belakang penubuhan Arau yang kemudian menubuhkan negeri Perlis, maka beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri Perlis yang pertama. Syed Hussien juga berkahwin dengan puteri Tok Arau bernama Wan Sofia lalu mendapat putera bernama Syed Ahmad yang kemudian menjadi Raja Perlis yang kedua.

Terdapat sumber yang mengatakan bahawa, pada masa tersebut, Kedah telah terbahagi kepada empat buah negeri berasingan iaitu Kedah, Kubang Pasu, Perlis dan Setol dan masih ada hubungan dengan Siam. Pada masa yang sama, Sultan Kedah telah tidak mempunyai kuasa ke atas negeri-negeri yang tiga itu.

Mungkin sebab inilah, sewaktu pelantikan Syed Ahmad sebagai Raja Perlis yang kedua, Raja Syed Hussien telah menitahkan Syed Ahmad bersama-sama Tok Arau untuk pergi menghadap Raja Ligor dan Raja Siam bagi memperkenan pelantikan raja kedua itu.

Sejarah Negeri Perlis Yang Ramai Tak Tahu

Jika korang mempunyai maklumat tambahan, boleh berikan di ruang komen.

Sumber: Khairy Tajudin

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.